
KLUANG – Sepasang suami isteri mencari sahabat karib mereka yang menyerahkan anak perempuannya untuk dijaga selepas dilahirkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini 11 tahun lalu.
Sophian Rohani, 48, berkata, wanita dikenali sebagai Fahazila Fathilah, 46, menyerahkan bayi perempuan yang dilahirkannya, Nurmasqiah Abdul Rahim, 11, kepada isterinya, Rodjia, 49, sehari selepas dilahirkan pada 19 Mac 2015.
Menurutnya, Fahazila ketika itu memberitahu tidak mampu menyara kehidupan bayinya berikutan masalah kewangan selain perlu mencari pekerjaan sebelum kembali mengambil semula anak berkenaan.
“Percaya dengan janji tersebut, kami bersetuju menjaga bayi berkenaan tanpa sebarang perjanjian rasmi dan penyerahan itu hanya disertakan dengan surat daftar kelahiran.
“Pada awalnya, Fahazila yang ketika itu tinggal di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, kerap datang menjenguk anaknya di rumah kami di Taman Sri Impian,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas setahun wanita itu mula sukar dihubungi dan usaha menjejakinya gagal.
Menurut Sophian, Nurmasqiah yang kini berusia 11 tahun memerlukan dokumen berkaitan bagi membolehkannya mendapatkan kad pengenalan dan melanjutkan pengajian.
“Bagaimanapun, urusan mendapatkan kad pengenalan tidak dapat diproses dengan hanya memiliki surat daftar kelahiran tanpa pengesahan daripada ibu kandungnya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Fahazila diminta menghubungi Sophian di talian 018-772 6587.
The post 11 tahun menanti kepulangan ibu appeared first on Kosmo Online.
