
BEAUFORT: Dua penduduk dari Jalan Kampung Rampangan, Sungkadan Luagan merayu agar pihak kerajaan, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), menunaikan janji untuk membayar pampasan bagi tanah yang diambil bagi projek pembinaan jalan raya sejak 11 tahun lalu.
Mastul Ampong bersama rakannya, Liew Hyen Yin, turut memohon campur tangan daripada Ketua Menteri agar isu ini diselesaikan dengan segera.
“JKR telah berjanji akan membayar pampasan menerusi surat yang kami terima, namun hingga hari ini – 11 tahun kemudian – janji itu belum ditunaikan,” jelas Mastul.
Menurutnya, pampasan tersebut berkaitan dengan projek naik taraf Jalan Rampangan, Sungkadan yang melibatkan pengambilan tanah milik mereka sepanjang 10 rantai (sekitar 200 meter) dengan keluasan 12 kaki setiap seorang.

