114 PATI Bangladesh jadi buruh di loji air Kelantan ditahan

LocalPolitics
6 May 2025 • 11:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Warga asing diperiksa dan ditahan oleh imigresen.

image is not available
Kesemua PATI yang ditahan di Chicha, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India ditahan di Loji Rawatan Air Chicha di sini pada Isnin.

Serbuan bermula jam 2 petang dijalankan pada operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.

Pengarah Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, semua yang ditahan ialah buruh berusia antara 18 hingga 55 tahun.

**media[3113355]**

“Pemeriksaan dijalankan ke atas warga asing dan kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen termasuk berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mohamed Yusoff Khan turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti menyalahi undang-undang membabitkan warga asing.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat melindungi PATI,” katanya.