
KUALA LUMPUR - Seramai 117 individu termasuk 109 warga asing ditahan dalam serbuan ke atas enam premis kediaman yang disyaki dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada 3 November itu dijalankan susulan aduan orang awam serta risikan selama dua minggu oleh pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan dari Bahagian Putrajaya.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 98 lelaki dan 11 wanita warga asing, selain tujuh lelaki serta seorang wanita warga tempatan.
Warga asing terbabit berasal dari China, Jepun, Korea Selatan, Kemboja dan Vietnam.
Menurutnya, operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu membabitkan 77 pegawai Imigresen dan 10 anggota MCMC yang memulakan serbuan kira-kira jam 11.50 pagi.
Serbuan berkenaan menyusuli operasi penguatkuasaan terdahulu di sebuah kawasan kediaman mewah di Seri Kembangan, Selangor, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama.
Ketika serbuan dilakukan, individu di premis terbabit dipercayai sedang berkomunikasi dengan mangsa menerusi pelbagai platform media sosial.
Siasatan awal mendapati rumah berkenaan digunakan sebagai pusat operasi penipuan dalam talian, khususnya membabitkan skim pelaburan palsu, tawaran pekerjaan tidak wujud dan penipuan e-dagang.
MCMC turut memberikan bantuan teknikal dengan memeriksa lebih 70 peranti elektronik termasuk komputer dan telefon bimbit.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas 115 komputer riba, 79 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950.
Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). - Getaran, 4 November 2026






