hamden04/05/2026 - 18:02 Ruang acara dikenali sebagai The Atmosphere seluas 20,000 kaki persegi dengan kubah kaca setinggi 88 meter bakal menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara dan aktiviti awam. editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Mei - Kompleks beli-belah 118 Mall yang dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd dijangka membuka pintunya kepada orang ramai pada Ogos ini di presint Merdeka 118, dengan lebih 70% ruang niaganya telah pun diisi.
Antara jenama popular yang bakal mengisi ruang niaga termasuk SOGO yang bakal dikenali SOGO118, Coach, Hackett London, Kenny Hills dan Village Grocer.
Terletak dalam kawasan bersejarah Merdeka 118, pusat beli-belah itu berada dalam jarak berjalan kaki ke Petaling Street, Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dan kini berada di peringkat akhir persiapan apabila penyewa mula menjalankan kerja hiasan dalaman.
Menurut kenyataan PNB Merdeka Ventures, antara tarikan utama 118 Mall ialah Malaysian Artisan District yang meliputi kawasan seluas 80,000 kaki persegi, menampilkan elemen makanan tempatan, kraf dan runcit.
Di tengah-tengah ruang tersebut terletaknya Makanizm Food Hall seluas 40,000 kaki persegi di Aras 3, yang bakal menjadi destinasi kulinari dengan mengetengahkan kepelbagaian hidangan Malaysia.
Dari segi penyewa, pusat beli-belah itu menampilkan gabungan jenama makanan dan minuman seperti Kenny Hills Cafe, ZUS Coffee, Eight Ounce Coffee, Oriental Kopi, Serai Premium, Dolly DimSum serta Cili Kampung.
Selain itu, jenama runcit antarabangsa dan tempatan seperti Skechers, Decathlon, Habib Jewels, Coach, Hackett London, Cole Haan, Asics dan Li-Ning turut menjadi sebahagian daripada campuran penyewa.
Bagi segmen keluarga, Village Grocer, HappiKiddo dan Babyshop akan bertindak sebagai penyewa utama bersama SOGO118.
Pusat beli-belah ini turut menampilkan ruang acara dikenali sebagai The Atmosphere seluas 20,000 kaki persegi dengan kubah kaca setinggi 88 meter yang bakal menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara dan aktiviti awam.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Izwan Hasli Ibrahim berkata, pembangunan Merdeka 118 sedang berkembang sebagai presint bertaraf global serta destinasi baharu yang dinamik di Kuala Lumpur.
“118 Mall memainkan peranan penting dalam melengkapkan keseluruhan pengalaman presint ini dengan menghubungkan elemen runcit, hospitaliti, budaya dan komuniti dalam satu destinasi yang unik.
“Dengan kadar pengisian melebihi 70%, kami yakin dapat menyumbang kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penawaran pengalaman bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Runcit 118 Mall, Sue Wang berkata, kemasukan penyewa menandakan fasa penting dalam merealisasikan visi pusat beli-belah tersebut.
Katanya, 118 Mall direka sebagai nadi kepada presint Merdeka 118 dengan menyediakan platform yang sesuai untuk peruncit berkembang, sekali gus mewujudkan suasana yang meriah dan mesra pengunjung. - DagangNews.com
