
IPOH – "Macam kat TV, hari ini saya buat sama macam orang pergi haji."
Rasa gembira itu dikongsi seorang kanak-kanak perempuan, Adrina Safiya Mohamad Suhaimi, 6, yang merupakan peserta program Mega Little Hajj 2025 peringkat negeri Perak yang berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini pada Rabu.
Sambil tersenyum bangga mengenakan telekung putih, Adrina Safiya tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya kerana dapat mengikuti program berkenaan.
"Saya bangun awal jam 6 pagi, naik bas ramai-ramai datang ke masjid. Kat sini kami buat tawaf, sa’i... semualah," katanya.
Acara simulasi ibadah haji anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd itu berlangsung secara serentak di seluruh negara pada Rabu dan Khamis dengan penyertaan seramai 11,992 kanak-kanak membabitkan lebih 400 tadika Little Caliphs.
Apa yang membanggakan, semua kanak-kanak ini bukan sahaja mampu menyebut rukun haji satu persatu, malah memahami dengan jelas susunan dan maksudnya bermula daripada ihram, wukuf, tawaf, sa’i hingga tahallul.
"Mula-mula saya niat pakai ihram, lepas tu saya kena berwukuf dan baling batu.
"Saya juga ada buat tawaf, sa’i dan gunting rambut (tahallul). Seronok dapat buat semua," kata Harith Naufal Kamarulariffin, 6, yang lengkap berbaju ihram.
**media[3144451]**
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Little Caliphs International Sdn Bhd, Datuk Roslan Nordin berkata, penyertaan hampir 12,000 orang itu bakal mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan serentak terbesar bagi simulasi ibadah haji oleh kanak-kanak.
Menurut beliau, pencapaian itu merupakan bukti komitmen Little Caliphs dalam mendidik generasi baharu Islam melalui pendekatan pendidikan holistik berteraskan nilai keimanan dan ketakwaan sejak usia prasekolah.
"Ini merupakan penganjuran kali ke-12 sejak dimulakan pada 2012.
"Alhamdulillah, program ini telah berdaftar untuk memecah rekod dalam Malaysia Book of Records 2025 bagi kategori ‘The Largest Simultaneous Participation of Children for Hajj Performing Program’," katanya dalam sidang media di sini.
Hadir sama, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Perak, Mohd Hafiz Sulaiman.
Roslan berkata, program Mega Little Hajj bukan sekadar aktiviti simbolik, tetapi merupakan sebahagian daripada modul pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) yang dimulakan sebulan lebih awal.
Katanya, dengan bimbingan 1,300 guru yang bertindak sebagai mutawif, setiap peserta menjalani latihan secara berperingkat antaranya pengenalan kepada rukun Islam, jenis-jenis ibadah serta adab ketika mengerjakan haji sebelum diakhiri dengan simulasi sebenar di lokasi-lokasi yang disesuaikan menyerupai persekitaran di Tanah Suci.
"Setiap tahun kita sasarkan peningkatan. Insya-ALLAH dalam masa beberapa tahun akan datang, sasaran kita adalah untuk mencapai penyertaan seramai 20,000 pelajar dalam program seumpama ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, modul pendidikan Little Caliphs mendapat sambutan luar negara, terutama Indonesia apabila empat cawangan telah dibuka di negara itu setakat ini.
Tambahnya, bermula April lepas, mereka juga telah memulakan modul ‘play school at home’ di United Kingdom dan kini sedang dalam perancangan membuka cawangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Abu Dhabi, Sharjah, Dubai, Makkah dan Madinah.
