SHAH ALAM - Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia memanfaatkan RM1 bilion untuk pembelian barangan keperluan asas dalam tempoh tiga minggu sejak program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dikreditkan pada 9 Februari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA Untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara.
"Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat.
"Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberitahu, jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA Untuk Semua pada tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lalu.
Menurutnya, dalam masa sama Kementerian Kewangan telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.
"Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan.
"Penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program tersebut memudahkan rakyat memanfaatkan bantuan bersasar di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus.
"Ini jelas terbukti dengan penggunaan kredit RM100 di bawah SARA Untuk Semua yang telah mencecah 56 peratus pengguna," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa baki kredit masih sah digunakan hingga 31 Disember 2026.
Jelasnya, dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA Untuk Semua setakat ini menunjukkan kadar lebih tinggi di Zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.
"Negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadar penebusan antara yang tertinggi termasuk Sabah (70 peratus), Perlis (65 peratus), Kelantan dan Labuan (64 peratus), Terengganu dan Kedah (63 peratus), Sarawak (62 peratus) serta Pahang (60 peratus).
"Selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, program SARA turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti.
"Bilangan Rakan Niaga SARA kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara selain rangkaian pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300," ulasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000.
"Peningkatan ini dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan SARA kepada sekitar 7 kilometer (km) berbanding 10km ketika ini bagi memudahkan akses rakyat,"ujarnya.



