12 kawasan catat IPU tidak sihat petang ini, Nilai paling terjejas

2 Oct 2023 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pemuda memakai pelitup muka dan berpayung ketika lalu di kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu disertai hujan renyai pada tinjauan di Presint 5 hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras tidak sihat setakat 4 petang ini, dengan Nilai di Negeri Sembilan menjadi kawasan paling terjejas dengan catatan IPU 162.

Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Cheras dan Batu Muda di ibu kota masing-masing merekodkan bacaan 161 dan 137 manakala di Putrajaya 154.

Di Selangor, kawasan paling terjejas ialah Banting dan Shah Alam dengan bacaan masing-masing 155, diikuti Petaling Jaya (154), Johan Setia (149) dan Klang (123).

Di Taiping, Perak, bacaan IPU adalah 109, sementara Negeri Sembilan melibatkan Nilai (162), Seremban (157) dan Port Dickson (154).

Sebanyak 54 lagi kawasan pula berada dalam paras sederhana dengan bacaan 51-100 manakala kawasan lain mencatatkan bacaan IPU baik iaitu kurang daripada 50. - Bernama