KUALA LUMPUR - Seramai 12 lelaki telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian khianat dan rusuhan sebuah pusat hiburan di Cheras di sini pada Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya turut merampas beberapa kenderaan termasuk sebuah lori yang digunakan suspek dalam kes tersebut.
"Pihak polis telah menangkap seramai 12 lelaki dan permohonan reman telah dipohon.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 akta sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sidang akhbar Ketua Polis Kuala Lumpur berhubung kes itu akan diadakan pada jam 11 pagi Rabu di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Pada Isnin, Fadil dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 7.30 malam.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1.30 tengah hari apabila sekumpulan lelaki terbabit bertindak merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori.
Mereka kemudian menceroboh masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan. Suspek turut melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis itu.
