12 pelajar UMT direman kes pukul bergilir-gilir

LocalPolitics
18 Dec 2024 • 4:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kesemua 12 penuntut universiti direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar berusia 20 tahun di kolej kediaman pada Ahad lalu.

image is not available
Antara pelajar universiti direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar berusia 20 tahun di kolej kediaman pada Ahad lalu.

KUALA TERENGGANU - Seramai 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul secara bergilir-gilir membabitkan seorang pelajar lelaki di kolej kediaman universiti berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kesemua pelajar berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan jam 6 petang pada Selasa selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki dari Melaka mendakwa anaknya yang berusia 20 tahun telah dipukul secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar lelaki di kolej kediaman.

"Anak lelaki pengadu turut menghantar beberapa keping gambar kecederaan dialami di beberapa anggota badan dalam kejadian antara jam 1 hingga 5 pagi pada 15 Disember lalu," katanya di sini pada Rabu.

Menurut Wan Mohd Zaki, bapa mangsa yang tinggal di Taman Seri Duyung, Melaka tiba di sini pada 16 Disember dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan awal mendapati terdapat kecederaan lebam dan kecederaan dalaman pada badan mangsa akibat dipukul oleh objek tumpul.

"Kesan kecederaan terdapat pada bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang kanan, dada, perut dan kaki sebelah kanan mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis turut merampas senjata yang digunakan suspek di kolej kediaman tersebut.

"Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terenganu pada Rabu untuk perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," ujar beliau