Kota Kinabalu: Sebanyak 12 program disusun sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-69 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkata, program-program berkenaan dilaksanakan bermula Ogos sehingga November depan.
“Sebanyak 12 program disusun sempena sambutan tersebut, bermula dengan program Konvoi Bermotosikal Berkuasa Tinggi PDRM bersama TYT pada 27 Ogos lalu.
“Seterusnya, majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat akan diadakan pada 30 September di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang.
“Manakala, istiadat perbarisan, Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Kebesaran Negeri Sabah dan majlis Santapan Negeri akan berlangsung pada 1 Oktober.
“Sambutan Hari Etnik Sabah pula dijadualkan pada 07 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang bakal menghimpunkan lebih 90 etnik negeri ini,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Juhar di Istana Seri Kinabalu.
Antara program lain yang akan diadakan adalah majlis Perasmian Pameran Khas, “Dirgahayu Tuan Yang Terutama” pada 12 Oktober, majlis Jamuan Teh Kanak-kanak Istimewa dan Anak-anak Yatim (20 Oktober), majlis Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (21 Oktober), Berbasikal Bersama TYT (22 Oktober), Kejohanan Golf Amal TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah (29 Oktober) dan Malam Sanjungan Kasih (5 November).
Juhar turut menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks), Jaibit Jaudin bersama barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang baharu, pada Khamis.
Menurut Jaibit, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Juhar berkenaan penyerahan semula pentadbiran Kopeks kepada ALK daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada April lalu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


![Halang Laluan Bas Rapid KL Hingga Jalan Jadi Sesak, Myvi Buat ‘Keras’ Walau Kena Hon Panjang Buat Ramai Geram [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)