
KUALA LUMPUR - Dua belas sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditahan tentera Zionis, selepas beberapa kapal konvoi itu dipintas di perairan antarabangsa.
Antara yang ditahan termasuk selebriti dan aktivis, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee dan Danish Nazram yang menaiki kapal Grande Blu.
Turut ditahan, penyanyi Zizi Kirana yang berada di atas kapal Huga, manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli ditahan dari kapal Sirius.
Dua beradik, pelakon Heliza dan Hazwani Helmi, juga dipercayai berada dalam tahanan selepas kapal Hio yang mereka naiki diserbu awal pagi tadi, susulan serangan meriam air oleh tentera laut Israel.
Sukarelawan Malaysia lain yang ditahan ialah Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma.
Menurut laporan Reuters, penganjur flotila berkata sekurang-kurangnya 13 kapal telah dipintas, namun lebih 30 buah kapal lagi masih meneruskan perjalanan dan kini berada kira-kira 46 batu nautika dari pantai Gaza.
Konvoi GSF pada awalnya melibatkan lebih 40 kapal awam membawa kira-kira 500 peserta dari lebih 45 negara, termasuk ahli parlimen, peguam serta aktivis hak asasi manusia.
Antara tokoh terkenal menyertai misi GSF itu ialah aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, yang dilaporkan ditahan selepas kapalnya dikepung tentera Zionis.
Menurut saluran Telegram flotila, Israel mula melakukan pemintasan apabila kapal-kapal berkenaan melepasi sempadan 70 batu nautika dari pantai.
Penganjur turut mendakwa komunikasi diganggu dan kapal Maria Cristina cuba ditenggelamkan, yang mereka sifatkan sebagai ‘jenayah perang sepenuhnya’, malah hubungan dengan kapal Adara juga dilaporkan terputus.
Kementerian Luar Israel mengesahkan tindakan tersebut, dan dalam kenyataanya mengatakan beberapa kapal flotila Hamas-Sumud telah dihentikan dengan selamat dan penumpangnya sedang dibawa ke sebuah pelabuhan Israel.
Pihaknya turut menegaskan Greta Thunberg dan peserta lain berada dalam keadaan “selamat dan sihat.”
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru semua pihak bertenang.
Jurucakap Stéphane Dujarric berkata, pihaknya tidak mahu sesiapa dicederakan, namun menegaskan Setiausaha Agung PBB tidak terlibat mengarahkan aktiviti flotila tersebut.
Protes Antarabangsa
Insiden ini mencetuskan gelombang protes di beberapa bandar utama dunia termasuk Istanbul, Rome, Barcelona, Berlin dan Brussels.
Di Istanbul, penunjuk perasaan berkumpul di luar konsulat AS, manakala di Rome, jalan utama serta stesen metro disekat demonstran. Kesatuan sekerja Itali turut mengumumkan mogok umum seluruh negara sebagai tanda bantahan.
Flotila yang berlepas sejak akhir Ogos itu membawa makanan dan ubat-ubatan untuk Gaza sebagai usaha mencabar sekatan laut Israel yang dikenakan sejak 2007. Penganjur menegaskan misi ini bersifat kemanusiaan dan aman, bertujuan meringankan penderitaan 2.4 juta penduduk Gaza.
Bagaimanapun, Israel mempertahankan tindakannya dengan alasan bahawa segala bantuan mesti disalurkan melalui saluran rasmi, serta menyifatkan usaha flotila tanpa kebenaran sebagai “provokatif” dan melanggar protokol keselamatan. - Getaran, 2 Oktober 2025


