120 keluarga dapat geran, nasib ribuan peneroka bagaimana? – Razman

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 11:17 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 120 keluarga dapat geran, nasib ribuan peneroka bagaimana? – Razman

BAGAN SERAI: Kerajaan Perak perlu menjelaskan dasar pemberimilikan tanah negeri secara lebih menyeluruh bagi memastikan ribuan peneroka, pekebun kecil dan penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) yang masih menunggu hak milik tidak terpinggir.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berkata, penyelesaian isu penempatan 120 keluarga di Sungkai dan Kuala Bikam yang menerima geran hak milik selepas menunggu kira-kira 40 tahun sememangnya wajar dialu-alukan.

Namun, katanya, perkembangan itu pada masa sama menimbulkan persoalan mengenai nasib ribuan keluarga lain di seluruh negeri yang turut menanti hak milik tanah selepas mendiami dan mengusahakan tanah berpuluh-puluh tahun.

“Setiap rakyat Perak yang telah mendiami dan mengusahakan tanah secara aman berhak mendapat jaminan perundangan serta kediaman yang sah tanpa mengira latar belakang kaum, selagi mereka adalah warganegara yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razman turut mempersoalkan tindakan menyerahkan geran tanah dalam majlis jamuan makan malam anjuran DAP DUN Sungkai, sedangkan dokumen berkenaan adalah hasil kelulusan rasmi Kerajaan Negeri Perak.

Menurutnya, proses pemberimilikan tanah membabitkan kerja penjawat awam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Perak, justeru penyerahan dokumen rasmi itu sewajarnya dibuat melalui majlis rasmi kerajaan.

Beliau berkata, tindakan tersebut dikhuatiri menimbulkan persepsi bahawa hasil kerja pentadbiran negeri digunakan sebagai pencapaian politik pihak tertentu, sedangkan hak milik tanah merupakan hak rakyat yang perlu diberikan tanpa mengira fahaman politik.

Dalam pada itu, Razman mendakwa isu penantian geran tanah selama 30 hingga 50 tahun turut membabitkan peneroka, pekebun kecil dan penduduk RPT di beberapa kawasan termasuk Bagan Serai, Lenggong, Pasir Salak, Hilir Perak dan Tambun.

“Kerajaan negeri perlu menjelaskan mengapa proses pemutihan dan pengeluaran geran bagi sesetengah kawasan dapat dipercepatkan, sedangkan penempatan tradisional dan RPT masih berdepan pelbagai birokrasi yang berpanjangan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu juga mendesak kerajaan negeri menyediakan garis masa yang jelas bagi menyelesaikan tunggakan permohonan geran tanah di seluruh negeri, selain memastikan tiada perbezaan layanan terhadap penduduk di perkampungan tradisional dan kawasan luar bandar.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan subsidi atau menyerap premium tanah serta kos ukur halus Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi membantu golongan B40 yang tidak berkemampuan melengkapkan proses mendapatkan hak milik.

“Bagi mengelakkan spekulasi dan persepsi negatif mengenai ketidakseimbangan agihan hak milik tanah, PTG Perak juga perlu menerbitkan data tahunan secara terbuka mengenai jumlah permohonan tanah yang diluluskan mengikut daerah dan demografi penduduk,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penantian 40 tahun bagi 120 keluarga di Sungkai dan Kuala Bikam berakhir selepas mereka menerima geran tanah masing-masing selepas menghadiri Jamuan Makan Malam anjuran DAP DUN Sungkai Kelmarin. – UTUSAN

The post 120 keluarga dapat geran, nasib ribuan peneroka bagaimana? – Razman appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved