
PETALING JAYA – Kumpulan hospitaliti mewah terkemuka, Jumeirah Marsa Al Arab di Dubai, bakal melancarkan satu lagi destinasi santapan berkonsepkan kontemporari terbaharunya yang dikenali sebagai 1206 menjelang akhir bulan ini.
Menurut kenyataan, pengenalan restoran baharu dijangka mengukuhkan lagi nilai daya saing Jumeirah Marsa Al Arab dalam usaha menarik segmen pelancong premium dan penggemar kulinari tinggi di pasaran global.
Jelasnya, restoran tersebut akan dikenali sebagai 1206 bersempena bilik tersembunyi di tingkat empat hartanah berkenaan namun ia menawarkan pengalaman santapan berasaskan keaslian bahan masakan, berlatarbelakangkan pemandangan cakerawala tanpa halangan dari Jumeirah Burj Al Arab hingga ke Burj Khalifa.
Premis baharu ini adalah ruang kulinari terakhir yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada penceritaan pembukaan resort berkenaan, sekali gus melengkapkan portfolio perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) bertaraf antarabangsa di resort tersebut.
Diposisikan sebagai pertambahan strategik dalam lanskap fine dining rantau Asia Barat yang kian berkembang, 1206 dipandu oleh penekanan terhadap hasil mengikut musim, amalan kemampanan, serta kebolehkesanan sumber bahan.
“Berteraskan tradisi masakan British yang digabungkan dengan pengaruh kulinari Perancis, Mediterranean dan Scandinavia, setiap sajian dihasilkan menerusi ketelitian tinggi bagi memastikan karakter asal setiap bahan menjadi fokus utama,” jelas kenyataan tersebut.

Di bahagian dapur 1206 pengurusannya akan diketuai oleh Ketua Cef Stephanie Haywood, yang mempunyai rekor perkhidmatan di beberapa restoran terkemuka bertaraf bintang Michelin di United Kingdom, Scandinavia dan rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Lebih menarik tentang 1206 juga adalah tentang penyediaan menu yang dibina menerusi kerjasama rapat bersama ladang-ladang tempatan bagi memastikan bekalan bahan mentah yang bertanggungjawab bersesuaian dengan trend kearah kelestarian..
“Falsafah masakan berasaskan penggunaan bahan secara menyeluruh (whole-ingredient cooking) menjadi keutamaan di mana setiap bahagian bahan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengurangkan pembaziran,” jelasnya..
Antara inisiatifnya adalah pengolahan elemen yang menggunakan tulang dan bahagian lebihan diproses menjadi sup pekat, sos, dan stok, teknik kulinari yang berkaitan dengan kaedah penapaian, pematangan dan masakan perlahan diaplikasikan bagi menaikkan profil rasa serta tekstur makanan.
Selain itu, sajian ikonik pula memperlihatkan kitaran lengkap yang mana bahagian ekor dijadikan sajian utama, lebihan bahan diserap ke dalam program minuman, manakala sisa selebihnya dikompos untuk taman herba di teres restoran.
Restoran mewah 1206 ini direka oleh studio rekaan antarabangsa terkemuka, AvroKO dengan ruang yang mengetengahkan rona bumi yang hangat serta kemahiran pertukangan halus berinspirasikan seni bina pesisir Levantine.
Dalam pada itu, penggunaan permukaan marmar terukir, tekstur buatan tangan, dan kabinet khas mewujudkan persekitaran yang mewah selain dilengkapi dengan elemen taman serta paparan herba yang diintegrasikan turut menghubungkan ruang dapur, teres dan persekitaran luaran bagi, menterjemahkan hubungan antara alam semula jadi dengan teknik kulinari. -KOSMO! ONLINE
The post 1206 bakal tarik pelancong premium, penggemar kulinari bercita rasa tinggi appeared first on Kosmo Online.

