125,000 huffaz profesional menjelang 2050

LocalPolitics
11 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 125,000 huffaz profesional menjelang 2050

BANGI: Malaysia menyasarkan melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 menerusi Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, laluan pembiayaan serta kerjasama universiti dan industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu bukan sekadar mengejar angka, sebaliknya bagi melahirkan generasi huffaz yang mampu mengintegrasikan nilai al-Quran dalam bidang profesional masing-masing.

Beliau berkata, pelajar tahfiz tidak seharusnya terpaksa memilih antara mendalami agama dengan mengejar cita-cita, sebaliknya perlu diberikan peluang menguasai ilmu, kemahiran dan kepakaran profesional.

“Saya mahu melihat huffaz menjadi saintis, jurutera, doktor, usahawan, pembuat dasar dan pemimpin yang membawa integriti al-Quran ke dalam profesion masing-masing.

“Anak tahfiz tidak perlu memilih antara agama dengan cita-cita.

“Mereka mesti diberi ruang untuk mendalami agama sambil menguasai ilmu, kemahiran dan profesion,” katanya pada Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara Permata Al-Quran Kali Ke-10, di German Malaysia Institute (GMI) di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran (PERMATA) Malaysia, Manolito Mohd. Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff.

Ahmad Zahid berkata, pendidikan tahfiz perlu bergerak seiring pembangunan modal insan negara bagi memastikan pelajarnya berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti, mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menceburi bidang industri.

Katanya, disiplin menghafaz al-Quran turut membentuk ketekunan, pengurusan masa, daya tahan dan fokus yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan bersaing dalam dunia profesional.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu memerlukan kerjasama kerajaan, institusi tahfiz, universiti, industri dan ibu bapa bagi menyediakan laluan pendidikan serta kerjaya yang jelas.

“Anak-anak tahfiz tidak boleh dibiarkan mencari jalan sendiri selepas tamat pengajian.

“Ekosistem ini mesti membantu mereka bergerak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ahmad Zahid menggariskan empat amanah kepada graduan, iaitu memelihara hafazan, menjaga akhlak, menerapkan nilai al-Quran dalam profesion dan menjadi penyelesai masalah yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut menggalakkan graduan terus menimba ilmu, menguasai bahasa dan memahami teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika, berpandukan al-Quran dalam setiap tindakan. – UTUSAN

The post 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved