13 GRO Warga Asing Ditahan, Disyaki Salah Guna Dokumen Perjalanan

26 May 2024 • 2:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Polis KL

KUALA LUMPUR - Seramai 13 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di empat pusat hiburan di bangunan pejabat sekitar Jalan Chulan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua wanita yang berumur 19 hingga 45 tahun itu ditahan pada jam 1.30 pagi kerana disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan bagi tujuan bekerja.

Beliau berkata turut ditahan empat individu yang berperanan sebagai pengurus berusia 26 tahun hingga 60 tahun.

"Polis juga merampas peralatan muzik iaitu tiga monitor, dua penerima mikroton, empat mikroton, sebuah pengadun audio, dua digital audio, tiga speaker dan empat amplifier.

"Empat pengurus premis direman sehari bermula hari ini manakala 13 wanita warga asing direman 14 hari di bawah Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - BERNAMA