KUALA LUMPUR – Seramai 13 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Kepong, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi daripada seorang anggota polis berusia 47 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur telah menjalankan operasi dan berjaya menahan 13 lelaki berusia antara 18 hingga 45 tahun pada Isnin.
“Siasatan awal mendapati kejadian pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pelanggan dalam keadaan mabuk di premis berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Basri berkata, kesemua suspek telah dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan lanjut dan kini direman sehingga 16 April bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Polis Kuala Lumpur akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.




