136 buah kenderaan perisai baharu bernilai RM2 bilion tambah kekuatan sedia ada Tentera Darat

5 Sep 2023 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

136 buah kenderaan perisai baharu bernilai RM2 bilion tambah kekuatan sedia ada Tentera Darat

zakisalleh

05/09/2023 - 12:40

KUALA LUMPUR 5 Sept - Sebanyak 136 kenderaan berperisai akan menjadi aset baharu Tentera Darat bagi menggandakan kekuatan sedia ada apabila perolehan tersebut diputuskan tahun ini.

Ia sebagai penambahan kenderaan berperisai bagi kegunaan Kor Armor Diraja (KAD).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, perincian akhir mengenai perolehan itu nanti akan diputuskan oleh Kementerian Pertahanan.

"Perolehan ini dilakukan melalui Projek Perolehan 136 unit kenderaan perisai 4×4 dan infrastruktur.

"Proses perolehan kenderaan tempur berperisai baharu itu telah diserahkan kepada Kementerian Pertahanan dan dijangka selesai pada Disember 2023," ujarnya.

image is not available
Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman.

Terdahulu, Mohammad hadir menyempurnakan perbarisan penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Sungai Besi di sini.

Esok, beliau akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang bersara.

Pelantikan ini juga bakal menyaksikan perubahan pada tampuk kepimpinan Tentera Darat apabila Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan akan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang baharu.

Pada Bajet 2023, kerajaan meluluskan perolehan sebanyak RM2.049 bilion untuk membeli 136 kenderaan jenis A 4x4 dan kenderaan jenis B bagi pemodenan Tentera Darat.

Kenderaan jenis A adalah kenderaan berperisai iaitu jenis dalam kategori sama seperti Radpanzer Condor.

image is not available

image is not available
Kenderaan HMAV Tarantula.

Kenderaan perisai Tarantula buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. antara yang disebut calon bagi program penggantian kenderaan perisai Radpanzer Condor

Saingan terdekatnya adalah kenderaan Pars 4x4 buatan Turkiye yang mempunyai ciri-ciri amfibia.

Turut mengintai peluang ialah kenderaan perisai ringan jenis Calidus Mcav 20 buatan firma pertahanan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Justeru, pengumuman Panglima Tentera Darat ini memberi lampu hijau bahawa perolehan kenderaaan berperisai untuk pasukan itu semakin hampir.

image is not available
Kenderaan Pars 4x4 semasa melakukan ujian di Malaysia tahun lalu.

image is not available
Kenderaan Calidus Mcav 20

Tambahan pula pada bulan lalu Tentera Darat telah memindahkan 26 buah kenderaan perisai AV8 Gempita dari Semenanjung ke Sarawak bagi menampung keperluan pertahanan di sana.

Kenderaan milik pasukan 1 Kor Armor Diraja di Kuantan, Pahang ini dipindahkan kepada Rejimen Keempat 4 Kor Armor Diraja di Kuching.

Pemindahan ini juga menunjukkan fasa pemodenan aset Tentera Darat di Malaysia Timur sedang berjalan mengikut perancangan. -DagangNews.com