14,768 individu di Selangor dalam proses transisi kerjaya, pengecilan tenaga kerja antara faktor utama

4 Aug 2026 • 1:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

14,768 individu di Selangor dalam proses transisi kerjaya, pengecilan tenaga kerja antara faktor utama

SHAH ALAM, 4 OGOS: Seramai 14,768 individu di Selangor direkodkan dalam transisi kerjaya bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai, lalu berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

EXCO Sumber Manusia V. Papparaidu berkata daripada jumlah tersebut, 56.4 peratus atau 8,336 individu terdiri daripada tenaga buruh mahir, 3,733 individu pula daripada tenaga buruh separa mahir dan 2,699 orang pula tenaga buruh kurang mahir.

"Daripada jumlah itu, 3,113 individu berada dalam transisi kerjaya berikutan pengecilan tenaga kerja, diikuti Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau persaraan awal (2,767), penutupan perniagaan (2,566) dan prestasi kerja kurang memuaskan (1,727).

"Faktor-faktor lain adalah berhenti secara sukarela (1,032), masalah prestasi kewangan syarikat (532) dan selebihnya pelbagai faktor. Jumlah keseluruhan pekerja berada dalam transisi kerja ialah 14,768," katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sabak Sallehen Mukhyi berhubung pengangguran tenaga kerja mahir dan separa mahir pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Papparaidu memaklumkan Kerajaan Negeri melalui kerjasama strategik PERKESO terus mengoptimumkan pelaksanaan pelbagai intervensi pasaran buruh bagi membantu pekerja yang sedang dalam transisi kerjaya mendapatkan pekerjaan semula.

"Antara langkah yang dilaksanakan menyediakan faedah di bawah Skim LINDUNG Kerjaya (Akta 800) seperti elaun mencari pekerjaan, elaun pendapatan berkurangan, pembiayaan yuran latihan dan elaun latihan kepada Orang Berinsurans (OB) yang layak bagi membantu mereka sepanjang tempoh mendapatkan pekerjaan baharu.

"Melaksanakan sesi profiling dan padanan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs bagi mengenal pasti kesesuaian pekerjaan berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kemahiran individu, seterusnya mempercepatkan proses penempatan semula ke sektor yang mempunyai permintaan tenaga kerja.

"Selain itu, menawarkan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu serta meningkatkan kebolehpasaran (employability) selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga memperkukuh pelaksanaan Jelajah JobCare Selangor, JobCare Istimewa serta Program Kerjaya Selangor sebagai platform strategik bagi mempertemukan majikan dengan pencari kerja secara terus.

"Program ini turut menyediakan perkhidmatan bimbingan kerjaya, semakan resume, khidmat nasihat kebolehpasaran serta peluang peningkatan kemahiran bagi membantu pencari kerja meningkatkan daya saing dan mempercepatkan penempatan semula ke dalam pasaran pekerjaan," katanya.

Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Kerjaya Selangor yang memberi keutamaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun ini.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama PERKESO serta syarikat dalam sektor peruncitan, pembuatan dan logistik itu menyasarkan penglibatan 30,000 pencari kerja di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved