Isu kecurian hak intelek syarikat adalah sesuatu yang sangat serius, tidak kira dimana anda berada. Tetapi, jika anda mencuri rahsia syarikat teknologi gergasi seperti Huawei, anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan sistem kehakiman China yang tidak akan memberikan sebarang belas kasihan.
Itulah apa yang dilaporkan sedang berlaku kepada 14 bekas pekerja Huawei. Kumpulan ini sebelum ini telah meninggalkan Huawei dan membina syarikat mereka sendiri yang dinamakan Zunpai Communication Technology.
Isunya ialah bukan pembangunan syarikat tersebut, tetapi 14 individu ini juga telah disabitkan kesalahan mencuri rahsia syarikat yang berkaitan dengan teknologi pembangunan cip semikonduktor mereka. Zunpai ditubuhkan pada tahun 2021 oleh Zhang Kun, yang mana sebelum ini beliau adalah seorang penyelidik teknologi di HiSilicon, syarikat yang bertanggungjawab untuk membangunkan teknologi cip semikonduktor Huawei.

Apabila beliau meninggalkan Huawei pada tahun 2019, beliau telah berjaya meyakinkan beberapa lagi pekerja di Huawei untuk meninggalkan syarikat tersebut dan menubuhkan syarikat baru dengannya. Huawei sedar akan perkara ini, dan pada Ogos 2023, telah menyaman Zunpai kerana mencuri hak intelek mereka.
Mahkamah Shanghai telah mendapati bahawa 40 daripada teknologi-teknologi cip semikonduktor Zunpai terlalu memiripi teknologi yang dimiliki oleh Huawei dan HiSilicon, dan ini adalah bukti yang mencukupi untuk mengatakan bahawa mereka menggunakan hak intelek yang dicuri, dan menangkap 14 individu pemula syarikat Zunpai dan menghadapkan mereka ke mahkamah.
Mereka kini telah didapati bersalah kerana mencuri dan menggunakan hak intelek Huawei tanpa kebenaran, dan akan dikenakan tindakan undang-undang, yang buat masa ini belum diumumkan secara rasmi. Tetapi terdapat sumber-sumber yang mengatakan bahawa mereka boleh dikenakan hukuman saman dan penjara sehingga enam tahun.
