
KENINGAU: Sekolah Henry Gurney (SHG) Keningau melepaskan 14 prospek di bawah program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin “Kepulangan Yang Dinanti” sempena perayaan Deepavali 2025 pada Khamis.
Pengarah SHG Keningau PKP Sirajuddin Abdul Majid semasa menyampaikan amamat kepada prospek, menyeru agar peluang pelepasan ini dijadikan titik permulaan bagi prospek membina kehidupan baharu sebagai individu yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Sembilan prospek akan menjalani PBSL dengan penempatan bekerja bersama majikan, manakala lima lagi dilepaskan untuk tinggal bersama keluarga masing-masing.
Sirajuddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan program PBSL Madani Yakin sempena Perayaan Hari Deepavali 2025 ini.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada banduan layak untuk menjalani baki hukuman di luar penjara bersama komuniti, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.
Turut hadir Timbalan Pengarah SHG Keningau Johari Chok Tang, Timbalan Penguasa Penjara dan Ketua Bahagian Korektif SHG Keningau Sharudin Tahir dan Ketua Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pedalaman Inspektor Penjara Stanley Jumin.
