14 tahun jaga bapa Parkinson, dorong Anfaal bangun ekonomi penjagaan (VIDEO)

15 May 2025 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 15 MEI: Pengalaman menjaga bapa yang menghidap penyakit Parkinson lebih 14 tahun lalu mendorong EXCO pembangunan wanita memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi penjagaan di Selangor.

Menurut Anfaal Shaari, sektor itu bukan sahaja menumpukan aspek rawatan pesakit malah turut mengiktiraf peranan kumpulan penjaga agar mereka tidak berasa terbeban dan mempunyai ruang untuk diri sendiri.

image is not available
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui selepas program Bicara Semasa di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 6 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Rumah saya sendiri jadi tempat belajar apa erti sabar, penyesuaian, dan kasih dalam menjaga orang yang sakit. Sakit ayah saya lebih kepada saraf macam kejang, mudah jatuh. Makin lama beri kesan antaranya percakapan.

“Bukan mudah dan ia perlukan kesabaran. Emak saya jaga ayah siang malam. Jadi kami pastikan ada ruang untuk dia rehat atau ‘me time’. Kadang-kadang mahu berkebun, mahu bersenam.

“Ini penting kepada penjaga. Kami buat jadual untuk pastikan semua menyumbang. Ada penggiliran kerana emak juga perlukan masa untuk dirinya,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.

Anfaal turut memberitahu perbincangan dan kerjasama semua ahli keluarga penting sebagai tanda sokongan moral kepada penjaga.

Bapa Anfaal, Saari Sungib adalah mantan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang selama tiga penggal (2008-2023). Di peringkat parti, Saar pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Amanah Selangor dan Ketua Amanah Gombak.

November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu:

  • advokasi dan promosi
  • tata kelola dan kawal selia
  • penjaga terlatih dan tenaga kerja
  • pelaburan dan kerjasama serta inovasi
  • teknologi dan data.

Dirancang berlangsung sehingga 2023, dasar berkenaan merangkumi penjagaan untuk warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, serta sokongan kepada penjaga formal dan tidak formal.

@anfaalsaari

“Rumah saya sendiri jadi tempat saya belajar apa erti sabar, penyesuaian, dan kasih dalam menjaga orang yang sakit.” Ayah saya adalah pesakit Parkinson sejak lebih 14 tahun lalu. Sejak itu, emak saya menjadi penjaga sepenuh masa. Saya melihat sendiri bagaimana keluarga kami menyesuaikan hidup. Dari ubahsuai rumah, buat jadual ubat, sampai adik-beradik kena bahagikan tugas dan masa. Bukan mudah dan ia perlukan kesabaran. Mak saya jaga ayah siang malam. Jadi kami pastikan ada ruang untuk dia rehat atau ‘me time’. Kadang-kadang dia mahu bersenam. Kadang-kadang mahu berkebun. Ayah pula suka main pingpong, walaupun di atas wheelchair. Jadi kami belikan meja. Saya pun kena belajar main, walaupun lebih banyak bola jatuh daripada masuk Semua ini bukan keluhan. Tapi inilah realiti yang ramai sedang hadapi dalam senyap. Sebab itu, bila saya dipertanggungjawabkan dengan portfolio Ekonomi Penjagaan di Selangor, saya ambilnya sebagai amanah yang sangat peribadi. Dasar ini bukan sekadar bantuan kepada yang sakit. Ia juga tentang pengiktirafan. Bahawa penjaga juga perlu dijaga. Bahawa setiap pengorbanan itu wajar disokong, bukan dilupakan. #EkonomiPenjagaan #CareEconomy #KitaSelangor #MajuBersama

♬ original sound – Anfaal Saari – Anfaal Saari