
JERANTUT: Sebanyak 15,803 permohonan dokumen pengenalan diri diproses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui 2,044 pelaksanaan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Selain itu, program turun padang tersebut menyampaikan 18,196 khidmat nasihat kepada masyarakat, sekali gus membuktikan komitmen berterusan JPN memastikan setiap lapisan rakyat, khususnya di luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pencapaian itu menjadi bukti keberkesanan pendekatan proaktif jabatan membawa perkhidmatan kerajaan terus ke lokasi rakyat tanpa mengira jarak atau kesukaran perjalanan.
“Dokumen pengenalan diri bukan sahaja bukti identiti malah menjadi asas kepada akses pelbagai kemudahan dan hak rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan Program Literasi Pendaftaran MEKAR Komuniti Mengimbau Jaman Tori di Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini.
Di Pahang, sehingga 30 Jun lalu, JPN negeri melaksanakan 115 Program MEKAR melibatkan MEKAR Komuniti, MEKAR Ihsan dan MEKAR Jejak Identiti yang memproses 420 permohonan dokumen pengenalan diri selain menyampaikan 1,450 khidmat nasihat.
Sepanjang tahun lalu pula, JPN Pahang melaksanakan 216 Program MEKAR dengan 1,552 permohonan diproses serta 7,039 khidmat nasihat disampaikan. Program MEKAR Komuniti terus berkembang apabila sebanyak 39 program dianjurkan pada 2024 berbanding hanya sembilan pada 2023 dan lapan pada 2022.
Di peringkat nasional, JPN melaksanakan 3,607 Program MEKAR sepanjang tahun lalu yang berjaya memproses 47,371 permohonan dan menyampaikan 47,055 khidmat nasihat manakala pada 2024 sebanyak 2,311 program dilaksanakan melibatkan 54,009 permohonan serta 37,537 khidmat nasihat.
Badrul Hisham berkata, kejayaan pelaksanaan Program MEKAR didorong kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan, penghulu, ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat, selain diperkukuh melalui penggunaan Bas MEKAR sebagai pejabat bergerak serta kenderaan pacuan empat roda bagi membolehkan petugas menyampaikan perkhidmatan ke kawasan pedalaman.
“JPN akan terus memperluas pelaksanaan Program MEKAR selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih inklusif, cekap dan menyeluruh, di samping mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga dokumen pengenalan diri kerana ia bukan sekadar bukti identiti, malah asas kepada hak setiap individu sebagai warganegara Malaysia,” katanya. – UTUSAN
The post 15,803 permohonan dokumen pengenalan diri diproses melalui MEKAR appeared first on Utusan Malaysia.




