15 'bayi merdeka' di Pahang

31 Aug 2023 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nor Azimi (tengah) melihat dua bayi yang dilahirkan di HTAA bersempena Hari Kebangsaaan.

image is not available
Dua bayi yang dilahirkan di HTAA pada Hari Kebangsaan ke-66 di HTAA.

KUANTAN - Seramai 15 bayi merdeka dilahirkan di lima hospital di Pahang pada Hari Kebangsaan ke-66, setakat jam 11 pagi pada Khamis.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, seramai 10 bayi lelaki manakala lima lagi perempuan.

"HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu seramai lapan bayi, diikuti HOSHAS (Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh) dengan empat kelahiran.

"Manakala Hospital Kuala Lipis, Hospital Pekan dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom Cameron Highlands masing-masing mencatatkan satu kelahiran sehingga pagi ini," katanya dalam satu sidang akhbar selepas meraikannya bayi merdeka di HTAA di sini pada Khamis.

Nor Azimi memberitahu, semua bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan dilaporkan stabil.

Jelasnya, bayi lelaki seberat 2.94 kilogram (kg) merupakan bayi merdeka pertama dilahirkan di HTAA pada jam 12.09 pagi Khamis.

"Kesemuanya dilahirkan secara normal kecuali seorang melalui kaedah vakum.

"Tahniah kepada ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada Hari Kebangsaan ini," katanya.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang bayi, Khatijah Anum Ismail, 39, tidak menyangka akan melahirkan anak ketujuhnya pada Hari Kemerdekaan.

"Kalau ikutkan tarikh bersalin pada 8 September ini tapi pagi tadi saya mengalami tanda-tanda bersalin. Alhamdulillah, saya melahirkan anak lelaki," katanya yang menetap di Sungai Ular.