Sajak merdeka merupakan ucapan yang berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, rangkap mahupun rima yang bertemakan hari kemerdekaan.
Deklamasi sajak bertemakan Hari Merdeka merupakan salah satu cara untuk memupuk semangat partiotisma dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Berikut dikongsikan beberapa sajak merdeka yang ditulis oleh sasterawan negara untuk dihayati sempena Hari Merdeka pada tahun ini.

Koleksi Sajak Merdeka
1. Menyambut Merdeka
Oleh : Za’aba
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.
Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.
Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.
2. Pahlawan dan Tanah Air
Oleh : Usman Awang
Pahlawan sejati
dalam hatinya bernyanyi.
Tanahair dan bangsa
di mana terpaut cinta mulia.
Untukmu darah ini mengalir
padanya jasad ini cair
3. Ikan yang Mencari Laut Merdeka
Oleh : Gabriel Kimjuan
Ikan berenang dalam laut merdeka
Mencari hempas buih kebebasan
Sarat dengan sampah kemanusiaan
Terapung ke pantai kematian
Conteng akal dinding fikiran
Dari fitrah ciptaan Tuhan
Gelap bukan satu halangan
Terang bukan satu kejayaan
Kepala yang telah kehilangan
Lalu busuk ke dasar pelabuhan
Menukar hitam oleh keracunan
Mabuk ditelan bersama kehidupan
Bahu ombak sapu halaman
Yang ditinggalkan raja pelayaran
Menikam tapak-tapak pelarian
Sudah bersemadi di pulau kuburan
Tiada lagi nafas jutaan ikan
Memberi kekal rahsia zaman

4. Senja Hari Merdeka
Oleh : Siti Zainon Ismail
Seluruh kota gemerlap cahaya
tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
laungan pertama, Ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban
memusnahkan warisan

6. Dilema Melayu
Oleh : Zurinah Hassan
Maka bangkitlah seorang Hang Jebat
suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”
Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan
gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.
Alangkah sukarnya membuat keputusan
untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.
Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.
Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.
Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah
Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku
bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.
Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.
Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.
Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.
Biarkanlah
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.
Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana
tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.

7. Erti Sebuah Kemerdekaan
Oleh : A Samad Said
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
Dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah, tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati, sekata hidup, mengerti dan berbudi.
Kita wajar mendaki lagi kerana puncak yang jauh.
Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
Mengasuh kita bersuara dalam sopan, yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
Inti tonggak dan menara kebahagiaan.
Kita datang bersama anak-anak yang sedia menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
Mendengar jerih perih bercerita jiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
Jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
Dan bumi akan subur, makmur dan mewah
Jika kita bekerjasama dan berikrar hidup bersama.
Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
Kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah kawan tanpa jenak, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
Berjalan kita atas nama ‘tanah air dan bangsa’ –
Bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.
Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
Dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
Kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
Wajar diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
Kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
Sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

8. Pertama dan Terakhir
Oleh : A Samad Said
Jauh kita berjalan
mendukung semua kepercayaan
pertama dan terakhir
sekarang kita sampai
ke puncak tiada tercapai
keazaman pantang cair
Kita bersua hati
mengisi setiap janji
pertama dan terakhir
tiada hari kiranya
hingga bernanah dada
sumpah tiada termungkir
Gemuruh kita bersorak
bumi dan langit retak
pertama dan terakhir
berani kita bergerak
darah dan daging serentak
hingga ke saat akhir
padu kita berhasrat
hingga bumi kiamat
pertama dan terakhir
kuat jantung berdetak
untuk berpaling tidak
biar di gelegak air
Rela kita mengangkat
cita bangsa berdaulat
ke puncak murni berukir!
9. Warkah Sumpah Sebuah Perjuangan
Oleh : Gabriel Kimjuan
Sebuah warkah berbunyi di dinding potret
Membeku separuh jiwa terdampar melukis aksara budi
Mengagumi kecekalan pahlawan di medan ketimuran
Senjata bersiap siaga dari terbit dan tenggelam mentari
Laut dan darat melontar sebuah ceritera berdaulat
Kepimpinan pahlawan membugar kekuatan pertiwi
Hingga darah merah memekat di baju bakti
Walaupun bertongkat luhur mendewasakan hikayat hakiki
Biar maruah bangsa sang merdeka menakluk perjuangan sejarah nenek moyang
Sampai berjabat gagah oleh para pemuja terbilang
Sumpah kemasyhuran kota pada peradaban ini
Membilang tubuh hayat menggegarkan tanah dan janji
Kisah zaman telah memulaukan segala kelibat hitam
Hingga gelombang hutan mengatur langkah mengaum belantara malam
Menjejaki pagar musuh tanpa penghuni waktu
Semangat jiwa mendakap setiap pelukan kasih
Meninggalkan lantai dataran obor kegemilangan abadi
Mengetuk pintu riwayat ini berlabuh melalui rahmat Ilahi
Perjuangan cinta watan akan sentiasa dalam ingatan
Tersemai piala keluhuran yang tertulis di bahu persahabatan

10. Dataran Merdeka
Oleh : Nur Hidayah Ismail
Di situ
sejarah berpijak bunyi berdentum
lagak perwira keris dihunus
bilah kata diasah tajam
dan jiwa sudah beradu takdir
mata harapan mengintip peluang
merangkak di selekoh susur tawakal
berjalan di segenap denai juang
berlari gah di Dataran Merdeka
Di sana
kenangan merebak aromanya
bicara sering meluncur di udara
dendam sudah terbang pulang
dengki sudah menyusup hilang
hanya saja
peluh negara melimpah wangi
di Dataran Merdeka.
Di sini
Ya di sini!
Jiwa melangkah seiring waktu
semangat berkibar merdu
angin cinta tidak lagi berkurung malu
Inilah Dataran Merdeka
Beginilah Dataran Merdeka
Benar di sini Dataran Merdeka
menjulang karya emas kesateria negara!

11. Tanah Jantung
Oleh: Dato’ Usman Awang, 1956.
Ini negeri kita
Negeri kasih
Kasih kita pada yang tak berbelah
Kasih kita dalam rangkul genggaman sejarah
Kita genggam sejarah
Sejarah moyang di usap bahagia dan gundah
Gundah beradap akhirnya terlerai
Telah kita redahi pahit getir di lembah dan ngarai
Pengalaman menjadikan kita lebih dewasa
Jatuh dan bangun anak ank bangsa
Kenal makna fahami erti slogan warga
Kita menjadi warga berani, percaya diri, dan perkasa
Ini ibu pertiwi kita negeri tercinta
Cinta kita yang setia terukir
Berdenyut di nadi bersama merah darah mengalir
Alirnya memercikkan cita
Cita kita memercukan jaya
Jaya ini kelak menjulangkan maruah
Maruah tinggi di tanah merdeka yang indah
Selamatlah kau tanah jantungku yang indah
Dari utara ke selatan, timur dna ke barat jua
Petamu lengkap sudah
Udaramu camlah akhirnya
Melindung memayungi
Bumi kekasih ini Ini negeri kita
Diukir ikrar dan kata
Dikibar jalur gemilang merata
Senandung dan nyanyi bernafas setia
12. Tanah Air
Oleh: Dato’ Usman Awang
Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.
Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani
Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai
Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati
Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan
Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan
13. Jiwa Hamba
Oleh: Dato’ Usman Awang
Termenung seketika sunyi sejenak,
Kosong di jiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya suara melambung tinggi.
Berpusing roda beralihlah masa,
Pelbagai neka hidup di bumi,
Selagi hidup berjiwa hamba,
Pasti tetap terjajah abadi.
Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,
Melemparkan jauh jiwa hamba.
Ingatkan kembali kata sakti,
Dari bahang kesedaran berapi,
Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.

14. Senyum Demokrasi
Oleh: A. Samad Said
Senyum Demokrasi
Di Dataran Merdeka ini
kalbu kita syahdu bersepi,
rindu kudus ke demokrasi,
bisik luhur lidah nan wangi.
Di Dataran Merdeka ini
azam tetap akar sejati,
rindu murni ke demokrasi,
hasrat kalbu gunung berseni.
Di Dataran Merdeka ini
Duduk Bantah seluhur diri,
sanjung kasih ke demokrasi,
hajat bersih padu abadi.
Di Dataran Merdeka ini
demokrasi senyum kembali!
15. Pada Tanah Yang Indah
Oleh: A. Samad Said
Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh
beri janji yang teguh hingga badanku luluh!
Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih
aku sama menagih kemerdekaan kekasih,
dalam dada yang mesra tenang telaga cinta
aku janji setia membela tanah pusaka.
Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah
setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,
biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya
untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela.
Dalam lari berlari berbaja kasih di hati
azam besi berumbi: melebur penjajah di bumi!
Dalam rindu berpadu, hitam dendam terpendam
aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.
16. Lidah Bangsa
Oleh: .A.Aziz Deraman
Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar
Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Soalan Lazim Sajak Merdeka
Apakah tema utama yang sering diangkat dalam sajak Merdeka?– Perjuangan tokoh lampau: Mengenang jasa pahlawan yang gugur mempertahankan tanah air.
– Perpaduan kaum: Kepentingan mengekalkan keharmonian antara pelbagai etnik di Malaysia.
– Kemerdekaan minda: Ajakan untuk membebaskan diri daripada pemikiran negatif dan malas.
– Cinta akan tanah air: Meluahkan rasa syukur dan setia kepada bumi pertiwi.
– Sajak: Puisi moden yang bebas. Tidak terikat dengan jumlah baris, suku kata, atau rima akhir (A-B-A-B).
– Pantun & Syair: Puisi tradisional yang terikat dengan format khusus (contohnya pantun mesti ada pembayang dan maksud, manakala syair mempunyai rima A-A-A-A).
Tarikh 31 Ogos 1957 merupakan hari rasmi pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Upacara bersejarah ini diketuai oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Apakah tema dan logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan tahun 2026?Tema bagi tahun 2026 ialah “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” Astro Awani. Logo yang digunakan adalah logo Malaysia MADANI yang melambangkan kebersamaan, keharmonian, dan kemakmuran rakyat yang inklusif.
Di manakah lokasi utama perarakan Hari Kebangsaan dijalankan setiap tahun?Lokasi rasmi perarakan utama sering diadakan di Dataran Putrajaya atau Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
