15 koperasi bayar zakat perniagaan hampir RM8 juta

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 3:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 15 koperasi bayar zakat perniagaan hampir RM8 juta

PETALING JAYA – Sebanyak 15 koperasi menyerahkan bayaran zakat perniagaan kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjumlah RM7,986,611.52.

PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan berkata, bayaran tersebut mencerminkan komitmen berterusan koperasi terbabit dalam melaksanakan tanggungjawab berzakat, selain menyumbang kepada kesejahteraan golongan yang memerlukan menerusi institusi zakat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan hadir menyempurnakan Majlis Zakat Koperasi anjuran PPZ-MAIWP di Putrajaya, semalam.

Penyerahan zakat disampaikan wakil setiap koperasi kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan disaksikan Zulkifli.

PPZ-MAIWP berkata, antara koperasi yang membuat bayaran ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Koperasi Bumira (M) Berhad dan Koperasi Guru-Guru Tadika Islam MAIWP Berhad.

“Turut terlibat Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad, Koperasi Kakitangan Kumpulan BIMB Holdings Malaysia Berhad (KOBIMBING), Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad, Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad dan Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad.

“Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, Koperasi Pos Nasional Berhad, Koperasi Pusat Perubatan Universiti Malaya Berhad, Koperasi Tenaga Nasional Berhad, Koperasi Ladang Berhad serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyerahkan zakat pada majlis berkenaan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pembayaran zakat perniagaan oleh kesemua 15 koperasi itu selari dengan semangat yang ingin dibina menerusi gagasan Madani.

Katanya, ia bukan sekadar membentuk masyarakat yang mengejar pertumbuhan ekonomi, malah memberi perhatian kepada nilai ihsan, kesejahteraan manusia, keadilan dan tanggungjawab bersama.

“Saya melihat peranan koperasi sebagai sesuatu yang amat signifikan. Koperasi lahir daripada semangat kerjasama, kebersamaan dan perkongsian manfaat. Nilai-nilai ini sebenarnya sangat dekat dengan prinsip Islam.

“Kita mahu kejayaan serta keuntungan yang dijana dalam masyarakat turut mengalir kepada golongan yang memerlukan. Kita mahu mereka yang menerima bantuan bukan selama-lamanya bergantung kepada bantuan, sebaliknya dibimbing sehingga mereka mampu berdiri dengan lebih kukuh,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak RM114 juta diterima daripada bayaran zakat perniagaan membabitkan pelbagai sektor termasuk sektor koperasi.

PPZ-MAIWP berkata, perkara itu membuktikan koperasi bukan sahaja berperanan sebagai pemacu aktiviti ekonomi dan kebajikan anggota, malah turut memainkan tanggungjawab besar dalam menyumbang kepada agenda kesejahteraan masyarakat yang memerlukan.

“Pembayaran zakat perniagaan melalui saluran yang sah dan berautoriti memastikan dana zakat dapat diuruskan secara teratur serta disalurkan kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya.

“PPZ-MAIWP berharap komitmen yang ditunjukkan oleh koperasi-koperasi ini akan menjadi contoh dan inspirasi kepada lebih banyak entiti perniagaan serta organisasi untuk melaksanakan kewajipan zakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 15 koperasi bayar zakat perniagaan hampir RM8 juta appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved