
Bahang menuju pentas berprestij Anugerah Juara Lagu 40 semakin terasa apabila 15 lagu dengan undian tertinggi sepanjang carta Muzik Muzik 40 (MM40) diumumkan secara rasmi pada Ahad menerusi program Muzik Muzik.
Pengumuman ini menjadi langkah awal dalam menilai karya terbaik tempatan yang bakal bersaing untuk merebut tempat ke peringkat separuh akhir AJL40.
Lebih menarik, sempena edisi ke-40 penganjuran, hanya 20 lagu akan dipilih oleh juri profesional untuk layak ke Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA), menjadikan persaingan tahun ini lebih sengit berbanding sebelumnya.
Barisan 15 lagu yang diumumkan menampilkan gabungan nama besar industri dan bakat baharu yang semakin menyerlah.
Kepelbagaian genre yang ditampilkan, daripada balada menyentuh perasaan hinggalah ke lagu berentak rancak, mencerminkan evolusi muzik tempatan yang semakin dinamik.
Antara lagu yang tersenarai termasuk ‘Hijab Rindu’ nyanyian Black Hanifah, ‘Seribu Tahun Lagi’ oleh Imran Ajmain, serta ‘Pernah Punya Aku’ daripada Shila Amzah. Turut mencuri perhatian ialah ‘Tangisan Seorang Pendosa’ nyanyian Marsha Milan dan ‘Semacam Pandora’ oleh Hazama.
Selain itu, lagu-lagu lain yang tersenarai ialah ‘Rasa & Takdir’ (Amira Othman & Irfan Haris), ‘Hilangmu Tak Terganti’ (Tajul & Afieq Shazwan), ‘Kamu’ (Aina Abdul), serta ‘Bunga Kemboja’ oleh Iman Troye.
Tidak ketinggalan karya seperti ‘Ke Mana Ni’, ‘Musnah’, ‘Ketagih’, dan ‘Lumrah Cinta’ yang turut memperkukuh senarai.
Baki 15 lagu lagi akan diumumkan minggu hadapan bagi melengkapkan 30 lagu keseluruhan sebelum hanya 20 daripadanya dipilih ke peringkat separuh akhir. Pengumuman seterusnya dijadualkan berlangsung pada 5 April ini.
Untuk rekod, AJL40 SA bakal berlangsung secara langsung pada 17 dan 18 April 2026, jam 9 malam di TV3 serta boleh distrim menerusi platform Tonton.
Dengan persaingan yang semakin sengit dan barisan lagu yang kuat, edisi ke-40 ini dijangka menjadi antara penganjuran paling menarik dalam sejarah Anugerah Juara Lagu. - Getaran, 30 Mac 2026
