15 Sekolah Terjejas Akibat Ribut, Perumahan Tentera Turut Terlibat - Alexander Nanta

20 May 2023 • 2:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebanyak 15 sekolah di ibu negara mengalami pelbagai kerosakan selepas dilanda ribut petang semalam. - Gambar dari Facebook Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR - Lima belas sekolah di sekitar ibu negara dilaporkan terjejas akibat ribut yang berlaku petang semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut, untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis serta tahap kerosakan semua sekolah yang terlibat.

Menurut beliau, kesemua sekolah berkenaan antara lain mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang. 

image is not available
Alexander Nanta Linggi - Gambar fail

“Hujan lebat serta ribut yang melanda di beberapa kawasan terutama di ibu negara petang semalam agak teruk sehingga menyebabkan banyak kejadian tidak diingini, termasuk kenderaan dihempap pokok tumbang, selain rumah dan sekolah mengalami kerosakan.

“Buat masa ini, JKR sudah menasihatkan pihak sekolah termasuk semua guru dan pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda beberapa lokasi sekitar ibu negara, lewat petang semalam.

image is not available
Kesemua sekolah berkenaan antara lain mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang.

Alexander berkata, kementerian melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan usaha menyiasat, membaik pulih serta mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan sesegera mungkin.

“Menurut laporan, kesemua 15 sekolah berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pudu, Keramat dan Sentul.

“Bagi PPD Pudu, sekolah terjejas adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, SMK (P) Methodist, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi dan SK Cochrane,” katanya.

Bagi PPD Keramat pula jelas beliau, sekolah terjejas ialah SK Setapak, SK Kg Baru, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah dan SMK Taman Melati.

“Dua sekolah yang terjejas di bawah PPD Sentul pula ialah SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.

“KKR juga menerima laporan kerosakan beberapa unit rumah di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur disebabkan kejadian ribut berkenaan,” katanya.

Alexander memberitahu, antara kerosakan dilaporkan adalah membabitkan bumbung dan awning yang tercabut akibat diterbangkan angin kuat.

“JKR bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Getaran, 20 Mei 2023