15 tahun menanti zuriat, akhirnya Mikhael hadir. Detik menyentuh hati Tunku Azizah 'timang cucu’ ke-150

LocalFamily & Parenting
13 Jan 2026 • 4:15 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SETIAP perkahwinan mengharapkan cahaya mata. Selepas 15 tahun berusaha, menelan air mata dan tidak putus harap, akhirnya doa Abdul Aziz Abd Halim dan isterinya, Noor Hamira Mohd Sani, dijawab jua.

Lebih sedekad dalam penantian, pasangan itu akhirnya direzekikan untuk memeluk zuriat sendiri. Jumaat lalu, kelahiran bayi lelaki seberat 2.97 kilogram (kg) yang diberi nama Mikhael bukan sekadar membawa kegembiraan, tetapi simbol berakhirnya sebuah penantian yang panjang penuh ujian.

"Kegembiraan tersebut turut dikongsi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan bercemar duli melawat ibu dan bayi di Hospital Selayang, Selangor, pada Sabtu lalu," kongsi Facebook Kesultanan Pahang.

image is not available

Menerusi foto yang dikongsikan, Noor Hamira tidak dapat menahan sebak ketika Tunku Azizah menimang Mikhael.

Artikel penuh:|

Difahamkan, Mikhael ialah bayi ke-150 yang selamat dilahirkan hasil rawatan tajaan TAFF sejak yayasan itu ditubuhkan pada tahun 2004.

Untuk rekod, Yayasan Fertiliti Tunku Azizah yang diasaskan atas inisiatif Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lalu telah menaja seramai 553 pasangan suami isteri di seluruh negara yang berdepan kesukaran mendapatkan zuriat.

Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam temu ramah bersama media tidak lama dahulu pernah mendedahkan permaisurinya wanita cekal yang pernah melalui enam kali episod keguguran dan 17 kali rawatan kesuburan IVF.

Difahamkan, Tunku Azizah memiliki empat cahaya mata hasil daripada rawatan itu.

Sumber: Kesultanan Pahang

 

 

View Original Article