150 hektar hutan terbakar, operasi pemadaman api masuk hari ke-4

LocalEnvironment
24 Mar 2026 • 11:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan bomba terus bertungkus-lumus padam kebakaran hutan di Punggai. - Foto JBPM Johor
image is not available
Pasukan bomba terus bertungkus-lumus padam kebakaran hutan di Punggai. - Foto JBPM Johor

PENGERANG - Kebakaran hutan dan belukar di sepanjang Lebuhraya Bypass Punggai ke Sebana Cove di sini kini memasuki hari keempat dengan asap tebal masih menyelubungi kawasan berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Alvinni Jackson berkata, kebakaran yang bermula pada Sabtu itu melibatkan kawasan seluas 150 hektar persegi, dengan 63 hektar atau 42 peratus berjaya dipadamkan setakat ini.

Jelas beliau, keadaan berisiko bertambah buruk berikutan cuaca panas, kering dan angin bertiup kencang.

"Operasi pemadaman dijalankan oleh pasukan bomba dari BBP Punggai bersama PDRM dan Yayasan Perladangan Johor, dibahagikan kepada dua divisyen.

**media[3470601]**

"Division A bertugas di sebelah kiri highway menggunakan aliran hos 800 kaki dan pam Godiva GP10/10 dengan sumber air dari takungan berhampiran.

"Division B pula di sebelah kanan Lebuhraya menggunakan hos 1,200 kaki dan pam Godiva serta Tohatsu, turut mendapatkan bekalan air dari takungan berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, polis dari Balai Polis Bayu Damai turut membantu menutup jalan bagi menghalang kenderaan memasuki kawasan kebakaran dan memastikan keselamatan orang ramai.

"Usaha pemadaman akan diteruskan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya dan mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan berisiko," ujarnya lagi.