153 laporan polis dibuat terhadap Puad Zarkashi

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 5:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 153 laporan polis dibuat terhadap Puad Zarkashi
Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU - Polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi media sosial selepas menerima 153 laporan polis di seluruh negara setakat jam 3 petang, Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dua laporan polis turut dibuat oleh seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor pada jam 10.53 pagi dan 12.13 tengah hari, Khamis.

“Setakat jam 3 petang, sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 melibatkan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, manakala Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan serta tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegentaran awam.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat serta memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved