159 pelajar, kakitangan sekolah berasrama keracunan makanan

LocalHealth & Fitness
11 Sep 2026 • 3:53 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 159 pelajar, kakitangan sekolah berasrama keracunan makanan

TAIPING – Seramai 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama di daerah Lenggong ini mengalami gejala keracunan makanan selepas dipercayai mengambil makanan yang disediakan sempena satu program di sekolah berkenaan, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Datuk A. Sivanesan berkata, kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak pada 10 September lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berusia antara 13 hingga 52 tahun, dengan gejala terawal dikesan pada pukul 11.30 malam, 9 September lalu, manakala kes terakhir dilaporkan pada pukul 1.40 petang, 10 September.

“Kesemua 159 kes mengalami cirit-birit dan sakit perut, manakala 125 orang atau 78.6 peratus mengalami sakit kepala.

“Seramai 89 orang mengalami loya, 31 orang muntah dan 15 orang mengalami demam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Taiping, hari ini.

Sivanesan berkata, semua mangsa sudah diperiksa dan menerima rawatan di sekolah berkenaan oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan (KK) Lenggong, manakala 10 kes menerima rawatan lanjut di klinik itu.

“Kesemua kes kini berada dalam keadaan stabil dan tiada seorang pun dimasukkan ke wad,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 34 sampel klinikal termasuk kultur najis dan virologi, 14 sampel persekitaran serta satu sampel makanan diambil semalam untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI).

“Makanan yang disyaki menjadi punca kejadian ini disediakan katerer luar yang ditempah sebuah agensi bagi satu program di sekolah berkenaan pada 9 September lalu.

“Susulan kejadian itu, PKD Hulu Perak menjalankan pemeriksaan terhadap premis makanan berkenaan pada pukul 2 petang, 10 September lalu dan mendapati premis itu memperoleh penarafan 78.16 peratus,” katanya.

Sivanesan berkata, PKD Hulu Perak kemudian mengeluarkan arahan penutupan premis makanan terbabit mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, pengusaha dapur turut diberikan pendidikan kesihatan serta arahan kerja bagi melaksanakan kerja pembersihan dan tindakan pembetulan termasuk kawalan makhluk perosak secara berkala.

“Dewan makan sekolah berasrama itu bagaimanapun terus beroperasi seperti biasa bagi menyediakan makanan kepada pelajar.

“JKN Perak menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dengan melihat, menghidu dan merasa makanan sebelum dimakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pengendali makanan supaya mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang. – KOSMO! ONLINE

The post 159 pelajar, kakitangan sekolah berasrama keracunan makanan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved