16 agensi bersatu perkukuh forensik digital banteras jenayah siber

LocalTechnology
15 Aug 2025 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara wakil agensi penguat kuasa yang hadir ketika Mesyuarat KKFD Agensi Penguat Kuasa Tahun 2025, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Khamis.

BANDAR PENAWAR – Sebanyak 16 agensi penguat kuasa bergabung tenaga memperkukuh kerjasama melalui forensik digital bagi menangani cabaran jenayah siber yang semakin kompleks.

Pengerusi Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD), Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, semua pihak berkumpul dalam satu platform strategik bagi membincangkan cabaran, peluang dan inovasi teknologi demi meningkatkan keupayaan negara dalam mengekang ancaman siber.

Menurutnya, forensik digital kini menjadi benteng utama dalam menangani jenayah siber yang dilihat semakin canggih dan kritikal dalam era teknologi moden hari ini.

"Kerjasama, perkongsian kepakaran dan inovasi teknologi adalah kunci untuk memastikan kita sentiasa berada di hadapan.

"KKFD membuktikan kesepaduan pelbagai agensi mampu melahirkan strategi lebih mantap dan berkesan," katanya dalam ucapan ketika perasmian Mesyuarat KKFD Agensi Penguat Kuasa Tahun 2025 di sini pada Khamis.

Mesyuarat ini menyaksikan kehadiran seramai 100 wakil daripada pelbagai agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); CyberSecurity Malaysia (CSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Penglibatan pelbagai agensi tersebut membuktikan keseriusan negara dalam memperkukuh proses penyiasatan kes yang cenderung ke arah jenayah digital.

KKFD ditubuhkan pada 2015 sebagai platform strategik menghimpunkan komuniti forensik digital Malaysia, khususnya dalam kalangan agensi kerajaan dan penguat kuasaan undang-undang.

Pertubuhan itu didaftarkan secara rasmi pada 13 Mac 2025 dengan matlamat memupuk perkongsian pengetahuan, pengalaman serta kepakaran selain menjadi medan perbincangan isu semasa berkaitan jenayah siber dan penyiasatan berasaskan teknologi.

Sejak ditubuhkan, mesyuarat KKFD diadakan setiap tahun sebagai medan kolaborasi profesional.

Tahun ini penganjurannya memberi tumpuan kepada lima agenda utama iaitu kerjasama antara agensi, inovasi teknologi, perkongsian pengalaman, persediaan masa depan serta penggubalan garis panduan siasatan forensik digital termasuk mengoptimumkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved