16 PATI ditahan dalam bas

1 Jan 2024 • 9:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi sekatan jalan raya (SJR) sempena Op Ambang Tahun Baharu 2024 di Gua Musang pada Isnin.

KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi sekatan jalan raya (SJR) sempena Op Ambang Tahun Baharu 2024 di Gua Musang, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, salah seorang daripada 16 PATI yang ditahan itu merupakan wanita warga Myanmar.

"Selain wanita itu, kami turut menahan lima lelaki warga Mynmar, Bangladesh (6), Pakistan (2), India (1) dan Pakistan (1)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kesemua PATI itu ditahan hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lima buah bas semasa melalui SJR berkenaan.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati 11 daripada mereka memiliki pasport yang telah tamat tempoh.

Mohd Ali memberitahu, lima lagi PATI tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Tambah beliau, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata, sebanyak 453 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut.

"Pada masa sama sebanyak 190 saman telah dikeluarkan ke atas pemilik kereta, motosikal (213), lori (28), MPV (20) dan pacuan empat roda (2)," ujarnya.