169 lintasan haram Malaysia-Thailand dikenal pasti perlu diberi perhatian - KSN

LocalPolitics
1 Jan 2025 • 10:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 169 lintasan haram sempadan Malaysia-Thailand, yang dikenal pasti perlu diberikan perhatian. Gambar fail Bernama

PASIR MAS - Sebanyak 169 lintasan haram sempadan Malaysia-Thailand, yang dikenal pasti perlu diberikan perhatian, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, ekoran itu kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan dan menutup terus lintasan-lintasan atau laluan masuk tidak sah ini.

"Langkah kawalan sempadan perlu dipertingkatkan dan penting untuk mengurangkan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.

"Saya meminta agar supaya pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di pintu-pintu masuk sempadan negara dipercepat dan menggunakan teknologi buatan kecerdasan buatan (AI) sebagaimana saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemudah cara untuk sentiasa berevolusi, selari dengan kepelbagaian bentuk ancaman kepada keselamatan negara,” kata beliau.

Shamsul Azri berkata demikian kepada pemberita sempena peluncuran program rintis Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini pada Rabu.