17 kes denggi di Bangi Avenue 3, penduduk giat bendung Aedes

LocalHealth & Fitness
7 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

17 kes denggi di Bangi Avenue 3, penduduk giat bendung Aedes

BANGI, 7 OGOS: Sebanyak 17 kes demam denggi direkodkan di Bangi Avenue 3, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sehingga mendorong persatuan penduduk dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat mengadakan gotong-royong dan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Operasi yang turut disertai sukarelawan penduduk itu memberi tumpuan kepada hampir 600 kediaman tiga tingkat bagi mengenal pasti lokasi pembiakan nyamuk Aedes serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya wabak denggi.

Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian rumah yang mempunyai tujuh bilik air tidak diselenggara dengan baik kerana jarang digunakan, menyebabkan berlaku takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Timbalan Pengerusi Penduduk Bangi Avenue 3, Mohd Kamal Mohd Ishak berkata pemeriksaan menyeluruh dari rumah ke rumah membolehkan punca pembiakan nyamuk dikenal pasti dengan lebih berkesan.

Image from: 17 kes denggi di Bangi Avenue 3, penduduk giat bendung Aedes
Timbalan Pengerusi Penduduk Bangi Avenue 3, Mohd Kamal Mohd Ishak. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ialah bilik mandi dan tandas yang tidak digunakan, saluran air tersumbat serta kawasan tangki simpanan air di bahagian atas rumah," katanya.

Mohd Kamal berkata pihaknya sebelum ini telah melaksanakan beberapa siri gotong-royong, namun sambutan kurang menggalakkan kerana sebahagian besar penduduk merupakan penyewa dan pekerja warga asing selain terdapat kediaman tidak berpenghuni.

Beliau berharap penyampaian maklumat melalui kain rentang dapat meningkatkan kesedaran penduduk supaya bersama-sama mengambil langkah sewajarnya bagi membendung penularan denggi.

Pada masa sama, petugas PKD Hulu Langat menasihatkan penduduk supaya meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa kawasan rumah masing-masing bagi memastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Image from: 17 kes denggi di Bangi Avenue 3, penduduk giat bendung Aedes
Taklimat sebelum operasi pemeriksaan rumah secara bersepadu oleh Bahagian Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di Bangi Avenue 3, Kajang pada 1 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mereka turut mengingatkan bahawa demam denggi boleh menyebabkan komplikasi serius terutama kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit kronik.

Persatuan penduduk berharap operasi bersepadu bersama PKD Hulu Langat dapat meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran, sekali gus menghapuskan tempat pembiakan Aedes dan melaporkan kawasan berisiko kepada pihak berkuasa.

Image from: 17 kes denggi di Bangi Avenue 3, penduduk giat bendung Aedes
Pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut serta dalam operasi pemeriksaan rumah secara bersepadu oleh Bahagian Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di Bangi Avenue 3, Kajang pada 1 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved