17 lelaki Muslim dicekup ‘sedap’ makan tengah hari tepi jalan di bulan Ramadan

LocalPolitics
27 Feb 2026 • 8:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penguat kuasa JAINJ menahan 17 lelaki beragama Islam kerana makan dan minum di tempat terbuka di kawasan perindustrian Senai pada tengah hari Ramadan. - Foto JAINJ

KULAI – Seramai 17 lelaki beragama Islam dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana didapati makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai ketika bulan Ramadan di kawasan perindustrian berhampiran lapangan terbang pada tengah hari Rabu.

JAINJ dalam kenyataan memaklumkan, kesemua individu berusia antara 19 hingga 33 tahun ditahan ketika sedang makan dan minum secara terbuka di tepi jalan, ada yang duduk di tepi longkang, di atas rumput serta berdiri di kawasan berkenaan yang menjadi laluan orang ramai.

"Kesemuanya adalah lelaki warga tempatan dan tiada warga asing.

"Mereka membeli makanan dan minuman secara bungkus dari sebuah kereta buka but di tepi jalan tidak jauh dengan tempat mereka ditangkap.

“Makanan yang dibeli terdiri daripada nasi putih bersama pelbagai jenis lauk seperti ayam, ikan, sambal, kuah kari dan ulam timun, manakala minuman pula air sirap, oren serta teh O ais yang diikat dalam plastik,” katanya.

Tambahnya lagi, alasan yang diberikan oleh kesemua individu terbabit adalah keletihan bekerja dan dahaga.

Bagaimanapun, perbuatan mereka makan minum di tempat terbuka di tengah-tengah orang lalu-lalang sangat tidak menghormati bulan Ramadan yang mulia ini.

“Ketika operasi dijalankan, mereka sedang makan sebelum dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa.

"Bagaimanapun, tiada makanan yang tertumpah atau terjatuh semasa tangkapan dibuat.

“Beberapa individu dilaporkan sempat melarikan diri dan meninggalkan makanan masing-masing sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Operasi berkenaan merupakan tangkapan paling ramai direkodkan JAINJ di satu lokasi sepanjang tahun ini," jelasnya lagi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved