17 lokasi di Kiulu perlu penahan tebing sungai

LocalEnvironment
20 Mar 2025 • 1:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: R Gonzales

Tuaran: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tuaran bagi membina penahan tebing di beberapa lokasi yang mengalami hakisan teruk di Kiulu.

Permohonan ini dibuat susulan aduan dan permintaan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bimbang dengan keadaan hakisan yang semakin meruncing akibat banjir.

Pada Rabu, Joniston mengadakan lawatan kerja ke Pejabat JPS Tuaran untuk mendapatkan taklimat serta membincangkan masalah hakisan tebing sungai dan keperluan pengairan sawah padi dan kebun buah-buahan di Kiulu.

Dalam lawatan itu, Joniston menyerahkan kepada Jurutera Daerah JPS Tuaran Mohd Khairul Anwar Abdul Rahman senarai kawasan yang menghadapi hakisan sungai yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Terdapat 17 lokasi yang setakat ini dikenal pasti memerlukan pembinaan penahan tebing secepat mungkin.

Antara lokasi berkenaan adalah sawah padi Nampayan, Sungai Ponohuon (100m), Jalan Pertanian Hatob, Sungai Ponohuon (100m), Sawah Kampung Ponohuon - saluran air / parit baru (100m), kawasan rumah Rusinah berhampiran Sungai Ponohuon (70m), Rumah Kebudayaan Kiulu, Sungai Tuaran (100m) dan Jalan Dogis, Kampung Malangang Baru, Sungai Tuaran (40m).

Selain itu, Pusat Pelancongan Kiulu, Sungai Tombongon (20m), Kampung Lubok, Sungai Kakib / Kimulou (100m), Kampung Rugading, Kiulu, Sungai Tuaran (100m), Kampung Rugading, Kiulu, Sungai Tuaran (200m), Kampung Malangang Lama, Sungai Pulou Kelapa (100m) dan Dewan Mini Kampung Waig2, Sungai Tuaran (100m).

Selebihnya Kampung Pukak, Nampasan, Sungai Tuaran (100m), Dewan Tagal Kitapol, Sungai Mantaranau (30m), Pusat Pelancongan Ratau, Sungai Kimulou (100m), Pusat Pelancongan Kg Pahu, Sungai Kimulou (200m) dan Tebing Sungai berhampiran tanah perkuburan Muslim dan Kristian di Kampung Nawoi.

Joniston menambah, Pejabat Unit Pembangunan Masyarakat Kiulu turut mengadakan lawatan ke semua lokasi tersebut dan mendapati bahawa kerosakan akibat hakisan di kawasan-kawasan berkenaan adalah serius serta memerlukan tindakan segera.

“Situasi ini dikhuatiri akan mengakibatkan kerosakan yang lebih serius sekiranya tidak diambil tindakan segera.

“Saya berharap agar tindakan pantas dapat diambil bagi mengatasi masalah hakisan yang mengancam keselamatan penduduk serta kawasan pelancongan di kawasan Kiulu,” katanya.

Permohonan ini juga disertakan dengan gambar-gambar setiap lokasi sebagai rujukan pihak JPS Tuaran.

Dalam taklimatnya, Mohd Khairul memaklumkan bahawa projek penahan tebing di Kampung Tompinahaton yang menelan belanja RM2 juta telah siap, manakala projek penahan tebing SMK Tun Fuad Stephens dan SK Pekan Kiulu dengan kos RM9 juta sedang dilaksanakan dan dijangka siap tahun hadapan.

Sebelum ini, Joniston turut mengadakan lawatan dan perbincangan bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran dan Jabatan Pertanian Tuaran bagi menangani isu-isu berkaitan yang turut menjejaskan kawasan Kiulu.