17 outlet Nasken Coffee ada sijil halal

LocalFood
24 Jul 2026 • 10:19 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 17 outlet Nasken Coffee ada sijil halal

KOTA BHARU – Nasken Coffee terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pematuhan pia­waian Halalan Toyyiban apabila 17 cawangannya kini memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn. Bhd., Mohd. Nazif Ab. Aziz berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan kesungguhan syarikat untuk menawarkan bukan sahaja kopi dan hidangan berkualiti, malah memastikan setiap premis beroperasi mengikut keperluan pensijilan halal.

“Komitmen kami di Nasken Coffee sentiasa jelas, bukan sahaja memberikan pengalaman kopi dan hidangan yang premium, malah memastikan setiap cawangan kami mematuhi stan­dard 100 peratus Halalan Toy­yiban yang diiktiraf demi kesucian serta jaminan untuk para pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sijil halal kepada Nasken Coffee yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di cawangan Nasken Coffee Pasir Tumboh, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd. Asri Mat Daud.

Mohd. Nazef menerangkan, pensijilan halal yang diterima melibatkan operasi premis Nasken Coffee merangkumi kilang, gudang penyimpanan serta kenderaan logistik syarikat bagi memastikan keseluruhan rantaian operasi mematuhi pia­waian ditetapkan.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, pemerkasaan pensijilan halal menjadi antara agenda utama kerajaan negeri selepas penubuhan Majlis Pembangunan Halal Negeri Kelantan.

Katanya, antara fokus utama tahun ini ialah meningkatkan jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selain menyasarkan setiap permohonan yang lengkap dapat diproses dalam tempoh 30 hari.

“Kalau semua syarat dipenuhi, kita sasarkan permohonan di­selesaikan dalam tempoh 30 hari. Kelewatan biasanya berpunca daripada premis yang masih perlu membuat penambahbaikan sebelum layak mene­rima sijil halal,” katanya.

 

The post 17 outlet Nasken Coffee ada sijil halal appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved