
BACHOK – Seramai 174 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok mencipta sejarah apabila menyertai menyertai hafazan al-Quran menerusi Majlis Khatam al-Quran Perdana 2026 yang berlangsung di sekolah itu hari ini.
Lebih membanggakan, semua pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sekali gus mencatatkan pencapaian 100 peratus bagi kohort Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM), Omar Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan pelajar mengikuti program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) sambil menguasai kurikulum akademik.
Menurutnya, kejayaan itu hasil usaha berterusan pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar dalam memastikan hafazan al-Quran dapat diselesaikan tanpa mengabaikan kecemerlangan akademik.
“Terdapat pelajar yang mampu menghafaz keseluruhan al-Quran dalam tempoh hanya lima bulan 10 hari. Ini menunjukkan kemampuan luar biasa yang perlu dibimbing menerusi penyusunan kurikulum secara sistematik.
“Kita mahu mereka bukan sahaja berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah memperoleh keputusan akademik yang cemerlang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khatam al-Quran Perdana SMKA Tok Bachok 2026 di sini hari ini.
Omar memberitahu, sekolah-sekolah di bawah program TMUA secara purata mencatatkan pencapaian melebihi 90 peratus pelajar menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh lima tahun.
Katanya, pelajar program berkenaan juga akan mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik pada tahun depan bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan serta kerjaya pada masa depan.-KOSMO! ONLINE.
The post 174 pelajar khatam al-Quran, SMKA Tok Bachok cipta rekod baharu appeared first on Kosmo Online.






