
KUALA LUMPUR – Seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia didakwa diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut, menurut pengesahan daripada Sumud Nusantara Command Center (SNCC).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Datuk Alim Araby dalam satu kenyataan terbaru.
Menurut beliau, setakat jam 7 malam waktu Malaysia, kapal Tam Tam tidak dipintas namun telah mengalami kerosakan dipercayai akibat tindakan pihak Israel.
Bagaimanapun, kesemua aktivis yang berada di dalam kapal tersebut dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang disahkan dipintas setakat ini adalah sebanyak 21 buah, ketika berada kira-kira 80 batu nautika dari perairan Greece,” katanya.
Tambah beliau, SNCC turut mengesahkan sekitar 30 buah kapal lain tidak ditahan dan berjaya meneruskan pelayaran dengan selamat menuju ke perairan Greece.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan telah berhubung dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan penuh bagi memudah cara usaha membawa keluar rakyat Malaysia yang terlibat.
Perdana Menteri turut mengecam tindakan Israel yang disifatkan mencabul undang-undang maritim antarabangsa.
“Beliau juga akan berusaha menghubungi rakan sejawatan dari negara Eropah, Turki serta negara serantau bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin dan pembebasan mereka dapat disegerakan,” katanya lagi. – The Malaysian Update
The post 175 Aktivis Termasuk 10 Rakyat Malaysia Didakwa Diculik, Dibawa Ke Israel appeared first on The Malaysian Update.





