18 projek RTB dilaksana, 11 sudah bermula di tapak

LocalPolitics
12 May 2026 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 18 projek RTB dilaksana, 11 sudah bermula di tapak
Wan Rosdy

KUANTAN – Kerajaan Pahang meluluskan dan melaksanakan 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.184 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berskala besar itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 11 projek telah bermula secara fizikal di tapak, enam masih di peringkat reka bentuk, manakala satu lagi diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama RMK-13.

“Antara projek yang sedang giat dilaksanakan termasuk RTB Bandar Pekan, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan serta RTB Sungai Semantan di Temerloh.

“Lokasi lain turut melibatkan kawasan di Bera, Raub, Bentong, Lipis, Sungai Jempol dan Sungai Luit,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan V. Arumugam (BN-Sabai) mengenai tahap perkembangan dan pelaksanaan projek RTB di seluruh Pahang.

Menjawab soalan tambahan mengenai RTB Sungai Bentong, Wan Rosdy memaklumkan projek berkenaan yang bermula pada November 2025 dijangka siap sepenuhnya pada November 2029.

“Insya-ALLAH, sekiranya semua berjalan lancar, dengan pemilihan kontraktor yang baik serta tiada faktor di luar kawalan kita.

“Skop projek merangkumi kerja mendalamkan sungai bagi melancarkan aliran air, pembinaan benteng banjir, pengukuhan tebing serta menaik taraf empangan di Repas Baru serta kawasan lama di Perting dan Lebu.

“Saya yakin ia dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Mengulas keberkesanan projek sedia ada, Wan Rosdy menegaskan pelaksanaan RTB terbukti mengurangkan impak banjir di kawasan hotspot yang dikenal pasti.

“Dulu kita dapati kawasan ini sering berlaku banjir besar, namun kini ia telah dapat diminimumkan dan ini satu bukti keberkesanannya.

“Setakat ini, enam projek tebatan banjir telah siap di Pahang antaranya Bandar Maran Fasa 1, PLSB Sungai Kuantan Fasa 2 serta RTB Lembah Bertam di Cameron Highlands yang siap antara tahun 2020 hingga 2024,” jelasnya.

Wan Rosdy menambah, antara kejayaan RTB di Bandar Pekan Fasa 2 melibatkan pembinaan benteng di Sungai Pahang serta kerja menaik taraf benteng selatan Parit Utama Sungai Air Hitam yang siap pada 2018.

“Sejak itu, kita sudah tidak lagi mendengar kejadian banjir besar di Pekan.

“Contoh paling ketara ialah di Sungai Isap yang siap pada 2011, yang berjaya mengurangkan risiko banjir dan tidak lagi berlaku banjir besar di kawasan itu,” jelasnya.

Menurut Wan Rosdy, kemajuan semasa projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan kini mendahului jadual dengan pencapaian 56.65 peratus.

Ujarnya, RTB Bandar Pekan Fasa 2 (Parcel 2) pula mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 7.22 peratus.

“Kerajaan negeri akan terus menilai kawasan baharu yang memerlukan projek tebatan banjir untuk dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa,” katanya.