188 kes jenayah seksual libat murid, pelajar sekolah di Kelantan

20 Sep 2023 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan - Foto 123RF

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan seramai 188 pelajar menjadi mangsa jenayah seksual di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, statistik menunjukkan seramai 153 kes melibatkan pelajar sekolah menengah, manakala sekolah rendah 35 kes dengan mangsa paling muda direkodkan berusia sembilan tahun.

"Sebanyak 254 kes pula dicatatkan bagi kesalahan rogol bawah umur dari tahun 2021 hingga September 2023," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati modus operandi adalah melalui perkenalan di media sosial seperti TikTok, Instagram, diperkenalkan oleh rakan dan sebagainya.

Ujarnya, kes terbabit berpunca daripada mangsa yang masih terlalu muda dan tidak menyedari risiko yang akan dihadapi kesan daripada perkenalan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya terpanggil untuk sama-sama menangani isu terbabit termasuk menempatkan pegawai perhubungan sekolah daripada kalangan pegawai dan anggota polis dalam usaha mencegah pelakuan jenayah, selain Pusat Temu Duga Kanak-kanak (CIC).

"Selain dadah, jenayah seksual merupakan antara masalah yang perlu ditangani dalam kalangan pelajar kerana ia agak ketara," ujarnya.