19 loji biofuel sedia bekalkan 1.5 juta liter sebulan, bantu stabil harga diesel - TPM

LocalBusiness & Finance
19 Apr 2026 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 19 loji biofuel sedia bekalkan 1.5 juta liter sebulan, bantu stabil harga diesel - TPM
Ahmad Zahid berucap pada majlis perasmian Pasar Raya RissMart Grocer di Pusat Bandar Kwasa Damansara pada Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kapasiti 19 loji pengeluaran biodiesel yang kini beroperasi di seluruh negara dijangka mampu membekalkan kira-kira 1.5 juta liter bahan api itu sebulan bagi memenuhi permintaan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bukan sahaja mampu menampung penggunaan semasa, malah berupaya membantu mengimbangi kenaikan harga diesel melalui pengurangan kos pengeluaran secara berperingkat.

Beliau menjelaskan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), FELCRA, FELDA serta beberapa syarikat swasta dalam sektor perladangan.

"Kini terdapat 19 loji pengeluaran 'biofuel' sama ada gred B15 hingga B50. Kita akan gunakan sludge atau produk sampingan yang dikeluarkan daripada minyak sawit mentah (CPO), di mana 35 peratus sludge ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pengeluaran biodiesel dan juga bahan api jet A1.

"MTEN pada dasarnya sudah menerima saranan ini dan kita akan selaraskan bersama badan serta syarikat berkenaan untuk memastikan wujud sinergi yang mampu merendahkan kos pengeluaran," ujarnya selepas merasmikan Pasar Raya RissMart Grocer di Pusat Bandar Kwasa Damansara di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi RISDA, Mandzri Nasib.

Mengulas mengenai kualiti bahan api tersebut, Ahmad Zahid menegaskan orang ramai tidak perlu ragu kerana ia telah melalui pelbagai fasa ujian keupayaan.

"Ujian rintis telah dijalankan, malah Petronas juga sudah melakukan ujian terhadap diesel ini. Kita turut bekerjasama dengan pengeluar kenderaan untuk menguji kesesuaian biodiesel ini pada enjin diesel yang dikeluarkan di negara kita.

"Insya-ALLAH, bagi jangka panjang, langkah pengeluaran secara massa ini akan membantu menstabilkan serta menurunkan harga diesel di pasaran," tambahnya.