'Saya tak pandai berenang, tak boleh buat apa-apa'

12 Jan 2020 • 10:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA TERENGGANU - Seorang lagi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Chendering masih hilang dalam kejadian lemas membabitkan tiga mangsa ketika mandi di Pantai Pandak di sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Tengku Muhammad Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan bersama dua rakannya dihanyutkan ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Bagaimanapun, rakannya, Muhammad Nazrim Mat Asri, 20, berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi, Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, ditemui lemas jam 9.50 malam tadi.

Sementara itu, salah seorang rakannya, Muhamad Aliff Najmie Che Norazlin, 20, berkata, dia menyesal dan trauma melihat pantai selepas kejadian itu.

"Saya dengar dengan jelas suara mereka meminta tolong, tapi ombak terlalu kuat. Saya tak boleh buat apa-apa sebab saya tak pandai berenang.

"Ada dua, tiga orang rakan kami yang pandai berenang cuba untuk bantu tapi tak berjaya. Tak lama kemudian, suara mereka senyap dan tak nampak dah di mana mereka," kata penuntut semester pertama, jurusan Ijazah Sains Komputer dari Pahang ini.

Muhamad Aliff Najmie menambah, sebelum mandi di pantai itu, ombak tidak kuat, namun ia berubah kuat tiba-tiba.

"Saya menyesal dan sekarang trauma tengok pantai. Selepas ini, saya dah tak nak mandi pantai lagi," katanya.


View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved