KOTA BHARU - Pas akan meminta penjelasan daripada Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) berhubung tindakan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kedua-dua parti itu akan berbincang perkara itu di peringkat Gagasan Sejahtera dan mengkaji kedudukan Berjasa.
“Kami akan minta penjelasan kenapa Berjasa meletakkan calon sedangkan masing-masing sudah bersetuju supaya pencalonan diberikan kepada Barisan Nasional (BN).
“Kami harap Berjasa mempunyai penjelasan kenapa mereka berbuat sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata akan mengkaji hubungan dengan Berjasa dari semasa ke semasa susulan tindakan parti itu mempertaruhkan presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz pada PRK Parlimen Tanjung Piai.
Mengulas lanjut Mohd Amar berkata, tindakan parti itu juga disifatkan bertembung dengan semangat Muafakat Nasional yang ditandatangani antara Gagasan Sejahtera dan BN sebelum ini.
“Soal terasa hati tidak timbul kerana Pas sendiri tidak bertanding, buat apa nak terasa hati, cuma dari segi semangat, apabila Berjasa bertanding, maka bertembung dengan semangat Muafakat Nasional,” katanya.
Beliau berkata, Pas juga perlu melakukan pemerhatian terlebih dahulu sekiranya tindakan Berjasa itu akan menyebabkan perpecahan undi, selain turut meminta semua penyokong mengundi calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
“Menyokong calon BN itu penting sebagai menghormati perjanjian dalam Muafakat Nasional walaupun bukan Melayu dan Islam yang mewakili pembangkang, saya meminta semua penyokong mengundi calon BN.
“Dalam konteks persetujuan dengan UMNO dan BN, kita hormat perjanjian itu walaupun mereka bukan Melayu dan Islam,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan mengkaji semula hubungan dengan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera susulan tindakan parti itu meletakkan calon pada PRK Parlimen Tanjung Piai.
PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Berjasa dan dua calon Bebas pada 16 November ini.
PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya akibat komplikasi jantung, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu.

