
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sementara menunggu rayuannya.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Najib selain meneliti dan mendengar hujah secara lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.
Najib menfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB itu diperintahkan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.
Semasa prosiding, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, keadaan kesihatan bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang semakin merosot serta jumlah denda yang didakwa di luar kemampuannya antara alasan dikemukakan di mahkamah.
Muhammad Shafee mendakwa gabungan faktor usia, masalah kesihatan kronik dan tempoh pemenjaraan yang panjang boleh mendedahkannya kepada risiko kemerosotan kesihatan yang tidak dapat dipulihkan sebelum rayuannya diputuskan.
Shafee berkata, laporan perubatan yang dikeluarkan Jabatan Penjara pada 7 Oktober lalu merekodkan 14 kategori masalah kesihatan yang memerlukan perhatian perubatan berterusan.
Menurutnya, antara masalah kesihatan yang dialami Najib ialah penyakit arteri koronari, hipertensi, apnea tidur obstruktif, osteoartritis, glaukoma dan pradiabetes.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai Datuk Ahmad Akram Gharib membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa Najib gagal menunjukkan sebarang keadaan khas atau luar biasa yang membolehkan penangguhan diberikan.
Pendakwaan mempertikaikan pergantungan pembelaan terhadap masalah kesihatan Najib dengan menyatakan tiada bukti menunjukkan beliau tidak sesuai berada di penjara atau keadaan kesihatannya tidak dapat dikawal dengan rawatan dalam tahanan.
Berhubung denda, pendakwaan berkata, jumlah berkenaan semata-mata tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas kerana hukuman itu dikenakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Pada 26 Disember lalu, Najib didapati bersalah dan dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan dana 1MDB.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas mendengar mitegasi hukuman daripada pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pendakwaan selain mengambil kira kepentingan awam.
Hakim Datuk Collin Lawrence memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kesemua pertuduhan itu.
Mengikut empat pertuduhan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB didakwa menggunakan kedudukannya ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Kesalahan itu dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Justeru beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Untuk rekod, perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia itu telah, mengambil masa keseluruhan selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan pada akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post 1MDB: Najib gagal tangguh hukuman appeared first on Kosmo Online.






