1MDB: Penganalisis BNM selesai beri keterangan, akan disoal peguam Najib esok

9 Oct 2023 • 7:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana milik 1MDB.

Adam Ariff, 29, saksi pendakwaan ke-47 berkata dana yang diperoleh 1MDB dan syarikat berkaitannya dipindahkan melalui sistem perbankan pelbagai bidang kuasa luar antara September 2009 dan Disember 2014, dengan sebahagian hasil 1MDB dan syarikat berkaitannya kemudiannya dipindahkan pula ke dalam dua akaun Najib di AmIslamic Bank.

Saksi itu berkata dana yang diperoleh 1MDB dan syarikat berkaitannya telah dikenal pasti dan pengeluaran hasilnya diasingkan kepada empat fasa iaitu, “Good Star”, “Aabar-BVI”, “Tanore” dan “Options Buyback”.

Bagi fasa pertama “Good Star”, sejumlah RM60,629,839.43 dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada akaun Riyad Bank di Arab Saudi antara 23 Feb dan 14 Jun 2011, “boleh dikesan” kepada bon Islam atau nota jangka sederhana Islam bernilai RM5 bilion yang dikeluarkan pada Mei 2009 oleh syarikat sebelum 1MDB iaitu Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan pinjaman RM2.5 bilion yang diambil 1MDB pada 2010.

Bagi fasa kedua, sebanyak RM90,899,927.28 dipindahkan daripada akaun Blackstone Asia Real Estate Partners di Standard Chartered Bank di Singapura ke akaun Najib antara 30 Okt dan 20 Nov, 2012, Adam Ariff berkata ini didapati “boleh dikesan” kepada anak syarikat 1MDB melalui bon 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL) dikeluarkan pada 2012.

Bagi fasa ketiga pula, sejumlah RM2,081,476,926 dipindahkan daripada akaun Falcon Private Bank milik Tanore Finance Corporation di Singapura ke akaun Najib antara 21 Mac hingga 10 April 2013, Adam Ariff berkata ini boleh dikesan kepada anak syarikat 1MDB iaitu melalui bon US$3 bilion 1MDB Global Investment Limited (1GIL) yang diterbitkan pada 2013.

Adam Ariff berkata bagi fasa keempat, sebanyak RM4,093,500 telah dipindahkan daripada akaun DBS Bank milik Blackrock Commodities (Global) Limited di Singapura ke akaun Najib dalam satu transaksi pada 23 Jun 2014, boleh dikesan semula kepada pinjaman US$250 juta yang dipinjam oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) pada 2014.

Selain itu, dalam fasa keempat juga, saksi itu menjelaskan bahawa RM45,837,485.70 dipindahkan daripada akaun Amicorp Bank di Barbados milik Vista Equity International Partners Limited ke akaun Najib antara 23 Okt hingga 19 Dis 2014, “sebahagiannya boleh dikesan” kepada pinjaman US$975 juta yang dipinjam oleh 1MEHL dalam 2014.

“Berdasarkan dokumen perbankan dan maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat, didapati dana tertentu yang diterima Najib dalam dua akaun peribadinya di AmIslamic Bank, boleh dikesan daripada hasil yang diperoleh 1MDB dan syarikat berkaitannya,” kata saksi itu.

Esok, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijadual menyoal balas Adam Ariff.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.-Bernama