
Pernah ada satu ungkapan popular di internet, “Tiada rahsia yang selamat selamanya di internet.” 1Password mempelajarinya dengan cara yang sukar apabila syarikat itu baru-baru ini mengalami kebocoran data yang melibatkan maklumat pengguna seperti nama, alamat e-mel dan ID akaun.
Menurut 1Password, syarikat itu mengesahkan berlaku pencerobohan pada sistem mereka. Sebahagian maklumat akaun pelanggan telah disalin oleh pihak penyerang yang masih belum dikenal pasti. Walaupun begitu, 1Password berkata peti simpanan kata laluan pengguna masih kekal selamat.
Bagaimana pencerobohan berlaku?
Menurut kronologi yang dikongsikan oleh 1Password, insiden ini bermula sekitar 19 November 2026 apabila penyerang berjaya mendapatkan akses kepada akaun GitHub korporat milik salah seorang pekerja syarikat itu.
Akaun tersebut kemudian digunakan untuk mengakses kod sumber dan menyuntik kod hasad ke dalam perkhidmatan 1Password. Kod tersebut turut digunakan untuk mendapatkan maklumat akaun pelanggan.
Maklumat apa yang dibocorkan?
- Nama dan alamat E-mel pengguna
- ID akaun dan pengguna
- Masa pendaftaran akaun dan log masuk terakhir
- Kunci kriptografi awam dan parameter protokol Secure Remote Password (SRP)
- Token tertentu dalam pautan penyediaan akaun dan pemulihan akaun
Perlu diingatkan bahawa 1Password masih belum mendedahkan jumlah pengguna yang terjejas dengan isu kebocoran ini.
Adakah kata laluan anda masih selamat di 1Password?
Menurut 1Password, kandungan peti simpanan kata laluan (password vault), item yang disimpan dan kunci penyulitan pengguna tidak diakses dalam insiden ini. Ini kerana maklumat tersebut tidak disimpan dalam sistem yang diceroboh.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa token yang terdedah tidak boleh digunakan secara bersendirian untuk mengakses akaun pengguna. Setakat ini, tiada bukti dalaman yang menunjukkan akaun pelanggan telah diambil alih menggunakan token tersebut.
Apa yang anda perlu buat sekarang?
- Berhati-hati dengan e-mel yang mencurigakan yang meminta pengesahan atau pemulihan akaun
- Jangan klik pautan daripada e-mel yang tidak dijangka
- 1Password tidak akan meminta kata laluan akaun atau “Secret Key” melalui e-mel
Sebagai pengguna, kita perlu sentiasa peka terhadap keselamatan akaun dan kata laluan dalam talian bagi mengelakkan risiko seperti serangan phishing dan penyalahgunaan maklumat peribadi sekiranya data tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh tekan pautan INI.





