Kekurangan paling ketara peranti Samsung sejak dua tahun kebelakangan ini ialah sistem zum yang tidak sebaik yang mampu dinikmati pada peranti Huawei. Peranti pesaing mereka boleh melakukan zum nirhilang sehingga 10X tanpa masalah berbanding hanya 5X pada peranti Samsung. Tetapi pada Galaxy S11 kelak ini mungkin akhirnya akan diatasi.

Seperti kami laporkan sebelum ini, Samsung telahpun memperlihatkan modul kamera dengan mekanisme periskop. Jika mekanisme ini dipadankan pula dengan sensor 108 Megapixel Bright HMX mereka, kemampuan melakukan zum ke angkasa adalah tidak mustahil. Dengan Huawei kini menerima sekatan dari A.S dan Apple pula masih belum bersedia menyertakan zum nirhilang, tahun 2020 ialah tahun yang terbaik untuk Samsung menunjukkan kemampuan kamera pada peranti mercu.
